Tingkat kemahiran tenaga

Tingkat kemahiran tenaga

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Dalam usahanya untuk mempertingkatkan sumber tenaga berkemahiran tinggi negara, Telekom Brunei Berhad (TelBru) menandatangani perjanjian kumpulan kedua perantis syarikat itu di premisnya hari ini.

Memorandum Persetujuan (MoA) bagi Skim Latihan Perantisan Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat HNTec yang bermula semenjak Julai lalu, ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay dan 10 orang pelajar IBTE dari Maktab Saiful Rijal.

Penandatanganan kumpulan kedua ini susulan kejayaan dua tahun dalam kumpulan perantisan pertama yang ditaja TelBru bermula Januari 2015 lalu, yang menjalani tempoh setahun pendidikan formal dan setahun lagi latihan dalam kerja dengan Pasukan Profesional Teknikal TelBru. Menjelang majlis konvokesyen mereka bulan depan, pelajar-pelajar ini akan memulakan kerjaya awal mereka bersama TelBru pada Januari tahun depan.

Sama seperti kumpulan perantis pertama, kumpulan kedua ini juga akan menjalani rutin sama dengan prospek pekerjaan berpotensi dengan TelBru sebaik sahaja menamatkan program perantisan berdasarkan syarat-syarat seperti prestasi baik dan juga berdisiplin sepanjang dua tahun perantisan mereka.

David Kay menyaksikan pelajar IBTE menanda-tangani MoA.
David Kay menyaksikan pelajar IBTE menanda-tangani MoA.

David Kay dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, mengatakan pelajar terpilih diharap dapat merebut peluang meningkatkan kemahiran mereka dan menyumbang kepada industri yang dijangka membangun pesat dalam masa beberapa tahun mendatang.

“Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kami kepada negara, TelBru akan terus mengambil langkah-langkah proaktif dalam pelbagai bidang ICT bagi melengkapkan generasi muda Brunei dengan kemahiran dan pengetahuan yang bersesuaian. Perkongsian kami dengan beberapa buah institusi pendidikan, termasuk IBTE merupakan komitmen jangka panjang kami bagi memastikan industri ICT Brunei dilengkapi dengan sumber manusia yang berkemahiran bagi melonjakkan industri ICT negara, tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA