Tingkat keputusan menjelang 2017

Tingkat keputusan menjelang 2017

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Pengetua, timbalan pengetua serta ketua kluster sekolah menengah kerajaan disyorkan supaya sentiasa berusaha memahami dan menjiwai kelima-lima bidang fokus yang digariskan Kementerian Pendidikan.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kepimpinan, pengajaran dan pembelajaran, kehadiran dan faktor sosial, akauntabiliti dan pengurusan, selain prestasi serta pemboleh berjalin (Cross Cutting Enablers) merupakan elemen yang amat penting dalam memberikan panduan kepada semua pemimpin sekolah untuk mencapai sasaran Kementerian Pendidikan.

Faktor-faktor ini merupakan sasaran bagi peringkat sekolah rendah dan menengah yang ditetapkan kementerian tersebut dalam usaha merealisasikan hasrat Wawasan 2035 iaitu sekurang-kurangnya 90 peratus murid mencapai gred A hingga C, 60 peratus pelajar mencapai sekurang-kurangnya 5 ‘O’ Level menjelang 2017.

Saranan itu dibuat oleh Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zaman bin Haji Gapar pada majlis perasmian Seminar Pelan Kerja 2016-2017 yang diadakan di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, hari ini.

Tetamu kehormat (tengah) bersama Haji Malai Shah Eran.
Tetamu kehormat (tengah) bersama Haji Malai Shah Eran.
Awang Zaman menyampaikan anugerah kepada pengetua sekolah yang berjaya.
Awang Zaman menyampaikan anugerah kepada pengetua sekolah yang berjaya.
Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati menyampaikan ucaptama seminar.
Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati menyampaikan ucaptama seminar.

Lebih 70 pengetua, timbalan pengetua dan ketua kluster dari lebih 30 sekolah menengah kerajaan seluruh negara menghadiri seminar dua hari yang dianjurkan bersama oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif Jawatankuasa Pengetua-pengetua dan Timbalan Pengetua Sekolah Menengah dan Maktab Kerajaan Negara Brunei Darussalam (JAPTIM) dan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif JAPTIM 2015-2017, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof, Pengarah Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, Pengarah Jabatan Kenaziran, Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat) dan Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Profesional).

Seterusnya, beliau menyarankan para pentadbir yang hadir memikirkan, meneliti dan memperbaiki strategi-strategi penilaian dalaman sekolah dengan melaksanakan penyelarasan bagi meningkatkan standard dan kualiti penilaian dalaman.

Awang Zaman mencadangkan supaya dilaksanakan penyemakan tugas dan menentukan sasaran pencapaian dari satu penilaian ke penilaian seterusnya.

Beliau mahu pemimpin sekolah memperkukuhkan lagi kemahiran dan pengetahuan dalam pencerapan serta maklum balas yang dapat meningkatkan prestasi pengajaran guru dengan mengadakan sesi penerapan yang sistematik.

Akhir sekali, beliau turut menyarankan supaya pihak sekolah dapat mempertingkatkan lagi pembabitan para ibu bapa dalam pembelajaran pelajar melalui aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) serta sesi perjumpaan yang sistematik dan terarah.

Ujarnya, matlamat Jabatan Sekolah-sekolah dalam memastikan kejayaan para pelajar adalah sejajar dengan slogan Kementerian Pendidikan, iaitu ‘Raising The Bar And Closing The Gap’, harus dijunjung dan dijadikan inspirasi oleh semua pemimpin sekolah.

Sehubungan itu, katanya seminar tersebut dirangka untuk memberikan hala tuju yang jelas kepada semua pemimpin sekolah supaya dapat bekerja secara kolaboratif agar mencapai kejayaan dalam peperiksaan GCE ‘O’ Level .

Para peserta Seminar Pelan Kerja itu juga diharap dapat mengenal pasti amalan-amalan pendidikan dan strategi yang berkesan dalam penghasilan satu pelan kerja yang berkesan, sekali gus mampu merealisasikan usaha untuk mencapai sasaran 60 Peratus 5 ‘O’ Level dan 70 Peratus 3 ‘A’ Level menjelang 2017.

Majlis turut diselajurkan dengan upacara penyampaian tiga kategori anugerah, iaitu Anugerah Sekolah Cemerlang kepada sekolah yang berjaya mengekalkan prestasi keputusan peperiksaan di kumpulan lima sekolah terbaik buat beberapa tahun dan mengekalkan tahap pencapaian di atas sasaran kebangsaan.

Seterusnya, ialah penyampaian Anugerah Sekolah Berkemajuan kepada sekolah yang telah mencatatkan peningkatan lima peratus atau lebih dalam keputusan peperiksaan berbanding pencapaian terdahulu pada 2013.

Manakala kategori ketiga ialah penyampaian Anugerah Sekolah Harapan kepada sekolah-sekolah yang telah berjaya memperbaiki keputusan peperiksaan yang mereka raih pada 2013.