Tingkat kerja secara berkumpulan sedari awal

Tingkat kerja secara berkumpulan sedari awal

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 24 April – Sekolah Misi St. James, Kuala Belait, baru-baru ini telah mengadakan Sukan Mini Dwi-Tahunan bagi murid-murid Pra-Tadika serta Tahun 1 hingga 3 yang berlangsung di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Mumong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pembukaan sukan itu ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Misi St James Kuala Belait, yang diiringi oleh Pengetua Sekolah Misi St James, Haji Mohd Masa Masdi bin Mohd Sa’idun serta beberapa orang ahli Lembaga Pentadbiran Sekolah Misi St James.

Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Mohd Masa Masdi menekankan mengenai kepentingan menggalakkan kesihatan anak-anak dalam dan luar persekitaran sekolah melalui aktiviti sukan.

“Aktiviti sukan pada hari ini menumpu kepada mengasah bakat individu dan erti untuk bekerja secara berkumpulan bagi meningkatkan semangat ‘kebersamaan’ di dalam setiap murid sekolah.

Aksi kanak-kanak di acara St James Mini Sport.
Aksi kanak-kanak di acara St James Mini Sport.

“Bermain secara berpasukan akan membantu mereka untuk menyedari bahawa dalam setiap perkara yang kita lakukan dalam kehidupan seharian ada yang memerlukan bantuan kita dan kadangkala ada masanya kita memerlukan bantuan orang lain,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan peranan pihak sekolah dalam membentuk tiga bidang utama iaitu meningkatkan kognitif, sikap dan kemahiran psikomotor kepada murid-murid yang diharap akan mendapat pelbagai manfaat dalam membangunkan sikap positif dan kemahiran yang dikehendaki.