Tingkat kerjasama alam sekitar

Tingkat kerjasama alam sekitar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Negara-negara yang menghadiri Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2 diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan kepada mereka dengan berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman dan kreativiti di antara satu sama yang lain dan untuk memahami pelbagai tindakan yang dilaksanakan di rantau berkenaan untuk melindungi dan memulihara hutan.

Dalam hubungan itu, mereka diseru juga untuk menjalinkan kerjasama itu di luar daripada hanya semasa sesi sidang kemuncak berkenaan tetapi juga untuk meningkatkan kerjasama itu ke pelbagai inisiatif lain.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Alam Sekitar dan Tenaga Australia, Josh Frydenberg ketika berucap pada Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, baru-baru ini.

Di samping itu, Frydenberg turut menyeru para peserta sidang kemuncak berkenaan untuk menggunakan momentum global daripada Perjanjian Paris yang dimeterai untuk menerajui ke hadapan tindakan dan agenda alam sekitar itu.

Menurutnya, sidang kemuncak itu adalah mengenai kerjasama dan kerjasama itu bererti untuk bertukar-tukar sepenuhnya idea daripada penggubal dasar, saintis, wakil komuniti dan sektor swasta.

Frydenberg menyeru semua negara yang menyertai sidang kemuncak itu untuk menggandakan lagi usaha dan komitmen mereka supaya dapat menjalinkan kerjasama bagi menangani isu alam sekitar dan perubahan iklim yang berkepentingan bersama.
Frydenberg menyeru semua negara yang menyertai sidang kemuncak itu untuk menggandakan lagi usaha dan komitmen mereka supaya dapat menjalinkan kerjasama bagi menangani isu alam sekitar dan perubahan iklim yang berkepentingan bersama.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Frydenberg berkata, penebangan hutan dan emisi karbon menyumbang kira-kira 10 peratus jumlah emisi gas rumah hijau global di mana ia merupakan salah satu sumber emisi global terbesar selepas penjanaan tenaga elektrik.

Pada peringkat global, jelasnya, hutan hujan menyimpan kira-kita 25 peratus karbon dunia dan merangkumi kira-kira 95 peratus spesies pokok dunia. Oleh itu, kehilangan hutan di rantau Asia Pasifik di mana sebilangan besar hutan hujan berada, merupakan satu trend yang amat membimbangkan.

Jika dilihat daripada perangkaan mengenai hutan di rantau Asia Tenggara, di antara 1990 hingga 2010, saiz hutan di rantau ini telah menurun sebanyak 3.32 hektar iaitu sebuah kawasan yang lebih luas dari Vietnam.

Selain daripada itu, dianggarkan kira-kira 200 juta orang di rantau Asia Pasifik bergantung pada hutan sebagai sumber pendapatan mereka iaitu dari segi perubatan, makanan, bahan bakar serta bahan pembinaan.

Perangkaan itu, ulas Frydenberg, membawa kepada dua kesimpulan utama iaitu hutan hujan di rantau Asia Pasifik adalah amat penting bagi ekonomi, sosial dan alam sekitar negara-negara individu serta tindakan yang dilaksanakan di rantau berkenaan mempunyai kesan yang penting kepada aspirasi menangani perubahan iklim global seperti yang dipersetujui di bawah Perjanjian Paris.

Dalam ucapannya itu, Frydenberg mengemukakan tiga isu yang dipercayai kritikal dalam merealisasi aspirasi negara-negara Asia Pasifik untuk memperlahankan, menghentikan dan menangani masalah penebangan hutan hujan di rantau berkenaan. Isu pertama yang dikemukakan olehnya adalah bagi menggunakan momentum daripada Perjanjian Paris untuk menerajui ke hadapan tindakan hutan hujan peringkat kebangsaan bagi negara-negara di rantau Asia Pasifik.

Isu kedua pula adalah untuk memahami peranan penting yang dimainkan oleh pasaran, institusi yang kukuh dan urus tadbir yang baik untuk memandu serta memastikan perubahan yang dilaksanakan adalah secara berterusan.

Isu ketiga, jelas Frydenberg, merupakan satu isu yang tidak kurang pentingnya iaitu untuk mengenal pasti, mengalu-alukan dan menggalakkan peranan kritikal sektor swasta dalam meningkatkan usaha yang dilaksanakan untuk memperbaiki keadaan hutan hujan di rantau berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA