Tingkat kerjasama dengan Sarawak

Tingkat kerjasama dengan Sarawak

KUCHING, 23 Ogos – Kerajaan Australia amat berminat untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan Malaysia dan kerajaan Sarawak dalam usaha mempererat lagi hubungan antara Australia dan Sarawak, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith (gambar).

Katanya, Australia dan Malaysia sudah pun mempunyai asas hubungan dan kerjasama yang kukuh, namun masih terdapat ruang untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang.

Smith bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini sempena lawatan kerja dua harinya ke Sarawak, kali kedua ke negeri ini sejak beliau memegang jawatan berkenaan.

Semasa lawatan itu, Smith mengunjungi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, tiga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Smith berkata kerajaan Australia dan Sarawak sedang meninjau bidang kerjasama dalam sektor pertanian di negeri untuk menggalakkan lagi pertumbuhan di sektor tersebut.

JB02_100816_ROD_SMITH

Di samping itu, komuniti bisnes Australia turut meninjau peluang pelaburan lain di Sarawak termasuk industri minyak dan gas, penjagaan kesihatan, industri makanan, pelancongan, industri kecil dan sederhana serta dalam bidang pendidikan.

Dalam bidang ini, kata beliau terdapat ikatan kuat antara Sarawak dan Australia dengan ramai rakyat Sarawak mendapat manfaat dari biasiswa Rancangan Colombo pada masa lepas.

Katanya, penubuhan dua buah universiti Australia; Swinburne University di Kuching dan Curtin University di Miri merupakan contoh kejayaan jelas dengan 4,000 pelajar menuntut di masing-masing universiti.

Smith berkata pada tahun ini terdapat 24,000 pelajar Malaysia menuntut di Australia dan 270 pelajar Australia menuntut di Malaysia.

Dalam industri pelancongan, Smith berkata kira-kira 500,000 rakyat Australia melawat Malaysia tahun lepas sementara 300,000 rakyat Malaysia melawat Australia.

Mengenai pelaburan, Smith berkata pelaburan Malaysia lebih besar di Australia bernilai kira-kira RM29 bilion.

Berikutan itu, kerajaan Australia berharap lebih ramai pengusaha negara itu melabur di Malaysia.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Konsul Kehormat Australia di Kuching Datuk Dr Philip Ting. – Bernama