Tingkat kerjasama industri sawit

Tingkat kerjasama industri sawit

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) – Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk meneroka langkah-langkah baharu bagi meningkatkan lagi kerjasama dalam industri kelapa sawit dalam persekitaran ekonomi global semasa.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala mengenai pembangunan industri di sini hari ini, kedua-dua negara juga menyatakan kesediaan berusaha ke arah meningkatkan persepsi tentang minyak sawit, termasuk dalam nutrisi dan pengeluaran lestari.

Menurut kenyataan itu, antara isu yang dibincangkan pada mesyuarat berkenaan ialah kerjasama dalam membantu pekebun kecil menghadapi cabaran global.

Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman Indonesia, Dr Rizal Ramli, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengetuai delegasi dari kedua-dua negara pada mesyuarat itu.

Rizal disertai Menteri Perancanaan Pembangunan Nasional, Sofyan Djalil.

Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) menyambut mesra Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman Indonesia, Dr Rizal Ramli ketika menerima kunjungan hormat menteri itu. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan). – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) menyambut mesra Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman Indonesia, Dr Rizal Ramli ketika menerima kunjungan hormat menteri itu. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan). – Bernama

Menteri-menteri Malaysia lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Douglas Uggah dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Jabatan Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

“Kami komited untuk meneroka usaha bersama yang bertujuan untuk memastikan pendapatan yang menguntungkan kepada pekebun kecil kedua-dua negara,” kata kenyataan itu, dan menambah, usaha berkenaan selaras dengan semangat kerjasama ASEAN dan pertumbuhan inklusif.

Kedua-dua negara juga menyokong sepenuhnya inisiatif untuk menggalakkan pelaburan merentas sempadan dalam pembangunan industri kelapa sawit.

Ini termasuk cadangan yang diumumkan oleh Felda Global Ventures Holdings Bhd dan PT Eagle High Plantation baru-baru ini untuk meneroka peluang dalam sektor hiliran.

Malaysia dan Indonesia berhasrat untuk merealisasikan wawasan ini secepat mungkin, kata kenyataan itu.

ARTIKEL YANG SAMA