Tingkat kerjasama penyiaran

Tingkat kerjasama penyiaran

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama Kali ke-14 di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Thailand mengenai Kerjasama Dalam Bidang Penerangan dan Penyiaran, yang berlangsung selama dua hari, membuka tirainya hari ini.

Perasmian mesyuarat yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri, di sini itu, telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku ketua delegasi Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, mengetuai delegasi kerajaan Thailand ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Awam, Dr. Charoon Chaisorn selaku wakil Setiausaha Tetap, Pejabat Perdana Menteri, Thailand.

Turut hadir ialah Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu, Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, para pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Radio Televisyen Brunei dan Jabatan Penerangan.

Haji Mohd Rozan semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, Brunei Darussalam dan Thailand telah terus mempromosikan pemahaman sosial dan budaya melalui pelbagai platform seperti pertukaran program televisyen dan radio, percetakan, pameran dan juga pertukaran kakitangan.

Suasana ketika mesyuarat tersebut berlangsung.
Suasana ketika mesyuarat tersebut berlangsung.
Ucapan alu-aluan dari Haji Mohd Rozan selaku Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam.
Ucapan alu-aluan dari Haji Mohd Rozan selaku Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam.
Sesi bergambar ramai bersama para delegasi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama Kali Ke-14.
Sesi bergambar ramai bersama para delegasi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama Kali Ke-14.

Kerjasama ini, menurut beliau, telah memperkukuhkan rangkaian penyiaran dan maklumat kedua-dua buah negara serta paling penting menyumbang kepada persahabatan mesra di antara agensi yang terlibat dan meningkatkan kefahaman dalam masyarakat Brunei dan Thailand.

Beliau seterusnya berkata, muzik dan budaya boleh digunakan untuk meningkatkan perpaduan, keharmonian dan pemahaman rakyat Brunei dan Thailand serta masyarakat meluas ASEAN.

“Kebudayaan memainkan peranan penting ke arah penyatuan komuniti ASEAN yang prihatin berdasarkan kerjasama,” ujar beliau.

Menurutnya, kebudayaan terus memainkan peranan penting sebagai penggerak bagi pembangunan mapan di ASEAN, dan berkata, usaha sama Brunei-Thailand dalam kebudayaan akan membantu membentuk identiti kemanusiaan, alat pengintegrasian sosial dan masyarakat madani ASEAN serta penggerak bagi pengetahuan dan kepintaran manusia.

Haji Mohd Rozan juga menyatakan harapan agar mesyuarat berkenaan akan meneruskan usaha menghasilkan program-program yang akan menarik orang ramai untuk menonton dan mengambil pengalaman mengenai ekonomi, sosial, budaya dan pelancongan di kedua-dua buah negara.

Sementara itu, Dr. Charoon Chaisorn semasa menyampaikan ucapan pula menekankan, setelah 14 tahun sejak MoU berkenaan ditandatangani pada tahun 2001, Brunei Darussalam telah memainkan peranan penting dalam pertukaran digital di bawah rangka kerja ASEAN yang akan siap pada tahun 2020.

Menurutnya, di Thailand mereka menjalankan kerja-kerja teknikal di samping meningkatkan kesedaran awam bagi memastikan peralihan berjalan lancar.

Mesyuarat tersebut akan membincangkan mengenai projek-projek dan kegiatan yang diungkayahkan bersama dalam bidang kerjasama penyiaran dan penerangan yang dilaksanakan oleh Jabatan Radio Televisyen Brunei dan Jabatan Penerangan bersama Jabatan Perhubungan Awam Thailand dan Perkhidmatan Penyiaran Kebangsaan Thailand.

ARTIKEL YANG SAMA