Tingkat kerjasama UNISSA, USIM

Tingkat kerjasama UNISSA, USIM

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Dalam usaha merapatkan lagi tautan kerjasama di antara kedua-dua institusi, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan delegasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini, telah mengadakan perjumpaan makan tengah hari yang diadakan di Restoran Anjung Saujana, di sini.

Hadir bagi mengetuai pihak UNISSA ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohamed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, sementara pihak USIM diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Dr. Mustafa Mohd Hanefah.

Antara perkara yang dibincangkan ialah penjanaan beberapa siri penyelidikan dan penerbitan bersama, antaranya penyelidikan dan projek wakaf di mana USIM merupakan institusi yang sudah diiktiraf dalam arena wakaf.

Ini jelas apabila USIM telah mewujudkan Tabung Dana Wakaf al-Abrar USIM yang telah didaftarkan dan mendapat kelulusan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Pengalaman luas pihak USIM ini akan dapat dikongsi bersama UNISSA dalam penyelidikan dan penerbitan dalam arena wakaf mengikut perspektif yang relevan dengan kepentingan masyarakat setempat.

Gambar ramai warga UNISSA dan USIM.
Gambar ramai warga UNISSA dan USIM.

Di samping itu, kedua-dua institusi ini akan berusaha untuk mendapatkan geran atau pembiayaan penyelidikan antarabangsa dalam projek yang akan mengangkat tema kepentingan bersama, supaya dapat dilaksanakan oleh kedua belah pihak dan dimanfaatkan oleh masyarakat serantau khususnya dan ummah sejagat secara umumnya.

Menurut kenyataan UNISSA, di sini, penyelidikan yang dibiayai secara global bagi sebuah projek atau penyelidikan sangat signifikan dalam usaha menaik taraf kedudukan sebuah institusi, yang mana UNISSA dan USIM sangat optimis bahawa usaha kebersamaan dalam iklim persaudaraan yang harmoni mampu menjana pulangan yang menguntungkan kedua belah pihak dalam meningkatkan kualiti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.

Kedua-dua buah institusi pengajian tinggi ini sudah menjalin memorandum persefahaman (MoU) pada tahun 2011 dan dilanjutkan lagi dengan perjanjian MoA pada tahun 2012 yang mana telah membuahkan banyak aktiviti bersama, antaranya pertukaran pelajar dan kerjasama menganjurkan seminar.

Delegasi USIM turut dihadiri oleh pengarah pusat pembangunan pembiayaan wakaf, ahli-ahli pakar akademik dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam penerbitan. Sementara itu, UNISSA turut dihadiri oleh penolong rektor dan beberapa orang pegawai utama universiti.

ARTIKEL YANG SAMA