Tingkat kesedaran alam sekitar

Tingkat kesedaran alam sekitar

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Lebih 40 pelajar, pensyarah dan kakitangan Institut Teknologi Brunei (ITB) menyertai Walkaton Projek Hijau bagi meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap gaya hidup dan kehidupan hijau di institusi pengajian tinggi.

Aktiviti yang pertama kali dianjurkan Kelab Eko ITB itu juga dilaksanakan untuk mengumpul dana bagi membiayai Program Projek Hijau kelab itu.

Kelab Eko merupakan kelab yang diterajui oleh para pelajar ITB dengan matlamat untuk menerapkan nilai kesedaran terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar ITB.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan Walkaton Projek Hijau ITB ialah Pemangku Penolong Naib Canselor (Industri dan Perkhidmatan) ITB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib.

Haji Ady Syarmin (bertopi di tengah) bersama peserta walkaton sebelum acara bermula.
Haji Ady Syarmin (bertopi di tengah) bersama peserta walkaton sebelum acara bermula.

Acara bermula dengan ketibaan tetamu kehormat di dewan serba guna, disusuli bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan sesi memanaskan badan dengan senaman aerobik yang dipimpin oleh anggota Kelab Aerobik ITB.

Tetamu kehormat seterusnya mengetuai kumpulan pelajar, pensyarah dan kakitangan ITB memulakan walkaton sejauh 1.5 kilometer mengelilingi perkarangan kompleks ITB.

Di samping walkaton, jawatankuasa penganjur juga telah mengadakan jualan garaj di bangunan kafeteria serta khidmat cuci kereta eko yang dikendalikan oleh ahli-ahli kelab.

ARTIKEL YANG SAMA