Tingkat kesedaran Autisme

Tingkat kesedaran Autisme

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Majlis Persidangan Autisme Kebangsaan Brunei ke-7 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Sermayuda, Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, melabuhkan tirainya hari ini dengan majlis penutup. Hadir bagi menutup persidangan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Sepanjang persidangan berkenaan, telah banyak membincangkan mengenai teknik-teknik terapi inovatif yang dikongsi oleh Pengasas dan Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman dengan kerjasama pengamal penjagaan ketidakupayaan tempatan dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Persidangan anjuran SMARTER Brunei dan Flinders University, Australia, dengan sokongan Pelan Colombo Baru Kerajaan Australia, yang bermula 9 Oktober lalu itu menjemput seramai 100 orang pakar dalam penjagaan ketidakupayaan dan autisme dari Australia, Filipina dan Brunei. Ia turut dihadiri oleh seramai lapan orang pelajar dari Flinders University, yang berada di negara ini bagi program penempatan selama tiga minggu dengan sokongan Pelan Colombo Baru.

Menurut seorang pensyarah dari Flinders University, Debbie Smith, menyertai persidangan berkenaan merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk para pelajar Flinders, di samping peluang kerjasama dengan SMARTER Brunei dan pegawai dari KKBS yang dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua belah pihak serta mengumpul banyak informasi berguna untuk ditawarkan ke dalam program kelas dunia bagi individu yang mengalami autisme.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyerahkan sijil kepada salah seorang peserta autisme.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyerahkan sijil kepada salah seorang peserta autisme.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

Sementara itu, salah seorang pelajar dari Flinders University, Max Sharpe menyatakan sepanjang berada di Negara Brunei Darussalam terutama ketika bekerjasama dengan SMARTER Brunei, telah membangkitkan semangatnya untuk membantu serta membela mereka yang kurang upaya dan autisme. Persidangan tersebut diakhiri dengan penyampaian sijil kepada 10 orang peserta autisme dari SMARTER Brunei yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Hazair.

ARTIKEL YANG SAMA