Tingkat kesedaran bahaya penyakit kanser

Tingkat kesedaran bahaya penyakit kanser

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit kanser, Raw Food Asia dengan sokongan Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Negara Brunei Darussalam, Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam, dan Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) akan menganjurkan Forum Kesihatan: Kanser pada 17 April ini bermula jam 2 petang di Restoran Momo, Hotel Star Lodge, Jerudong.

Di negara ini, penyakit kanser tersenarai sebagai penyebab utama kematian tertinggi yang mana hampir seramai 600 orang pesakit telah didiagnosis sebagai pesakit kanser dan hampir 200 daripadanya meninggal dunia setiap tahun.

Merujuk Statistik Kementerian Kesihatan dalam masa lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 21.1 peratus kematian pada 2013 berpunca daripada penyakit kanser, sebagaimana yang dicatatkan semasa Forum Awam bersempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2016, baru-baru ini.

Jumlah peratus kematian yang agak tinggi ini amat membimbangkan, sekali gus memberikan impak negatif kepada perkembangan sosioekonomi keluarga dan kesudahannya menjadi bebanan negara untuk menanggung kos perubatan yang semakin meningkat.

Oleh yang demikian, Naib Yang Di-Pertua II, Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali berkata, perbincangan kanser ini bukan sahaja tertumpu kepada rawatan kanser bahkan ia juga membincangkan bagaimana mencegah kanser dan mementingkan cara hidup yang lebih sihat.

Mewsum Wong (kiri) dan Datin Hajah Masni bergambar bersama salah seorang pesakit kanser tahap 4 yang terselamat, Boon Boon sambil menunjukkan poster mengenai kanser yang sudahpun diedarkan kepada orang ramai.
Mewsum Wong (kiri) dan Datin Hajah Masni bergambar bersama salah seorang pesakit kanser tahap 4 yang terselamat, Boon Boon sambil menunjukkan poster mengenai kanser yang sudahpun diedarkan kepada orang ramai.

Semasa sidang media yang diadakan di Restoran Momo, pagi tadi, beliau yang juga merupakan Penasihat WI Brunei dan Yang Di-Pertua BASMIDA menjelaskan bahawa forum kesihatan ini bukan sahaja tertumpu kepada pesakit-pesakit kanser bahkan satu landasan untuk mereka menyebarluaskan mesej kesihatan kepada semua lapisan masyarakat yang mana penyakit kanser boleh dicegah dan dirawat dari peringkat awal lagi.

Menerusi perbincangan itu nanti, Pengasas Raw Food Asia, Mewsum Wong semasa sidang media itu menjelaskan, mereka juga akan memberikan maklumat mengenai manfaat memakan buah-buahan yang dapat mencegah dan merawat kanser, dan antara buah yang akan dikongsikan itu nanti ialah buah ‘Gac’ yang terkenal di Thailand.

Menurut beliau lagi, forum ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk mendengar penerangan daripada pakar kesihatan dari England, Guy Harriman, yang akan mengemukakan tentang rawatan kesihatan daripada tumbuh-tumbuhan asli.