Tingkat kesedaran diabetes

Tingkat kesedaran diabetes

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Bersempena Hari Diabetes Sedunia 2015, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Diabetes, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Pusat Promosi Kesihatan telah menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma selama dua hari, hingga hari ini, di ruang legar The Mall, Gadong.

Aktiviti-aktiviti bertemakan ‘Bertindak Sekarang Untuk Merubah Masa Depan’, yang juga tema Hari Diabetes Sedunia 2015 itu turut merangkumi pameran kesihatan mengenai pemakanan sihat dan diabetes, pertandingan interaktif diabetes, sesi kaunseling bersama pegawai pemakanan dan pegawai podiatri bagi mereka yang menghidapi penyakit diabetes.

Objektif utama aktiviti ini adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat, pengambilan buah-buahan dan sayuran dalam kalangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan ibu bapa serta penjaga mereka di samping meningkatkan kesedaran orang awam amnya mengenai pengurangan pengambilan gula.

Menurut perangkaan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2013, sebanyak 54.6 peratus daripada penduduk Negara Brunei Darussalam meninggal dunia akibat penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kanser, penyakit jantung, diabetes dan penyakit kardiovaskular termasuk strok.

Manakala itu, sebanyak 9.4 peratus kematian pada tahun 2013 pula disebabkan oleh penyakit diabetes, sekali gus menjadikannya sebagai punca kematian ketiga tertinggi dalam lima tahun kebelakangan ini.

Orang ramai mengambil peluang membuat pemeriksaan bagi mengesan tanda-tanda awal penyakit diabetes.
Orang ramai mengambil peluang membuat pemeriksaan bagi mengesan tanda-tanda awal penyakit diabetes.

Sementara itu, Kaji Selidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan 2009-2011 mendapati bahawa sebanyak 12.5 peratus orang dewasa di negara ini menghidap penyakit diabetes yang bukan sahaja dihidapi oleh orang dewasa, malah boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Kajian Kementerian Kesihatan telah menunjukkan faktor risiko utama bagi penyakit diabetes, terutamanya diabetes jenis 2 iaitu mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti, yang mana isu ini juga dihidapi di Negara Brunei Darussalam. Hasil dapatan daripada Kaji Selidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Permakanan2009-2011 menunjukkan bahawa kadar berat badan berlebihan dalam kalangan orang dewasa ialah 33.4 peratus dan kadar obesiti sebanyak 27.2 peratus manakala hasil dapatan daripada Kaji Selidik Global School-based Health Survey 2014 menunjukkan kalangan remaja berumur 13 – 17 tahun pula, kadar berat badan berlebihan ialah 35.1 peratus dan kadar obesiti sebanyak 17.3 peratus.

Selain daripada obesiti, faktor-faktor risiko lain bagi penyakit diabetes termasuk amalan cara hidup yang tidak sihat seperti tidak mengamalkan pemakanan sihat, khususnya pengambilan makanan dan minuman yang tinggi gula, kurang HDL Kolesterol dan tinggi triglycerides, kurang pengambilan buah-buahan dan sayuran, kurang melakukan kegiatan fizikal serta menghidapi tekanan darah yang tinggi dan bagi golongan wanita, pernah mengalami diabetes semasa mengandung.

ARTIKEL YANG SAMA