Tingkat kesedaran gaya hidup sihat

Tingkat kesedaran gaya hidup sihat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Dalam usaha untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai amalan gaya hidup yang sihat, Freshco Batu Satu dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan telah mengadakan Jerayawara Gaya Hidup Sihat yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 Mac lalu hingga hari ini.

Jerayawara yang diadakan sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Freshco Batu Satu itu diadakan di Atrium, Freshco Batu Satu di mana bukan sahaja Pusat Promosi Kesihatan mengadakan pameran menarik mengenai gaya hidup dan pilihan makanan sihat, malahan Freshco juga mempamerkan pelbagai jenis makanan dan produk bagi mempromosikan gaya hidup sihat itu.

Selain daripada pameran yang diadakan, para pengunjung juga mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan dan pertandingan yang diadakan untuk memeriahkan lagi jerayawara berkenaan termasuk kuiz tembakau, peraduan mewarna, kuiz pemakanan dan pertandingan hula hoop serta dumbbells.

Antara mereka yang mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan yang diadakan semasa jerayawara itu.
Antara mereka yang mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan yang diadakan semasa jerayawara itu.

Hadiah-hadiah bagi para pemenang dalam pelbagai kegiatan kuiz dan pertandingan yang diadakan itu disampaikan oleh Pegawai Perubatan Kanan, Pusat Promosi Kesihatan, Dr Ernina Nisdzarinah binti Haji Abdul Rani dengan diiringi oleh Pengurus Jenama Sushi Tei, Willard Hipolito.

Jerayawara itu dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai amalan gaya hidup sihat dengan mempromosikan pemakanan seimbang dan kegiatan fizikal serta meningkatkan kesedaran mengenai bahaya merokok dan mempromosikan alam sekitar bebas asap rokok.

ARTIKEL YANG SAMA