Tingkat kesedaran golongan tersisih

Tingkat kesedaran golongan tersisih

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Usaha sedang dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya penyakit AIDS kepada golongan yang tersisih iaitu mereka daripada golongan yang kurang bernasib baik dan juga mereka yang berada di luar negara su paya mereka tidak mudah terpedaya oleh orang-orang yang ingin mengambil kesempatan daripada kesusahan mereka serta mungkin mendedahkan mereka kepada bahaya jangkitan penyakit yang merbahaya.

Perkara itu dijelaskan oleh Presiden Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC), Awang Iswandy Ahmad dalam temu bual bersama Media Permata pada Majlis Rumah Terbuka BDAC yang berlangsung di Kafeteria, Pusat Promosi Kesihatan, Berakas, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa golongan tersisih seperti mereka yang mengalami kesusahan mungkin menjadi sasaran bagi golongan yang berniat jahat dan akan mengambil kesempatan terhadap mereka serta akan mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah termasuk penyakit berjangkit seperti AIDS.

Dalam hubungan itu, ulasnya lagi, BDAC bersama pihak-pihak yang berkepentingan berharap untuk menyasarkan program-program kesedaran kepada golongan yang tersisih itu supaya dapat memberikan mereka ilmu pengetahuan dan pendedahan mengenai pelbagai anasir-anasir jahat yang boleh menyakiti mereka.

Mengulas mengenai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit jangkitan seksual termasuk AIDS, Awang Iswandy berkata bahawa BDAC terus berkerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan.

Awang Iswandy bergambar ramai dengan ahli-ahli BDAC, Kelab Penyinar dan tetamu di majlis berkenaan.
Awang Iswandy bergambar ramai dengan ahli-ahli BDAC, Kelab Penyinar dan tetamu di majlis berkenaan.

pg10_160726_a

Dalam usaha itu, beliau berkata bahawa program yang dilaksanakan bersama pihak-pihak yang berkepentingan itu, menggunakan pendekatan kepada masyarakat untuk memastikan program berkenaan sampai kepada golongan-golongan yang disasarkan.

Manakala itu, mengulas mengenai kesedaran mengenai penyakit seperti AIDS, beliau berkata kesedaran masyarakat menunjukkan peningkatan namun begitu masih lagi terdapat salah pendapat mengenai penyakit berjangkit seperti AIDS di mana mereka yang mungkin terdedah kepada penyakit berkenaan, kurang memahami mengenai perlunya untuk membuat pemeriksaan.

Beliau berkata bahawa pemeriksaan berkenaan boleh dilakukan dengan mudah di pusat-pusat kesihatan dan berharap mereka yang mungkin terdedah kepada kegiatan-kegiatan yang kurang sihat akan dapat membuat pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu sebelum itu, kira-kira 100 orang ahli BDAC, ahli-ahli Kelab Penyinar, pihak yang berkenaan dan ahli keluarga mereka telah diraikan dalam Majlis Rumah Terbuka BDAC yang dihasratkan untuk mengukuhkan lagi hubungan persahabatan, kekeluargaan dan silaturahim dalam suasana perayaan.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Naib Presiden BDAC (Pentadbiran), Awang Mohd Hazrin Daud, Naib Presiden BDAC (Kegiatan dan Majlis), Dayang Liyana Latif, wakil dari Pusat Promosi Kesihatan, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim, Kapten Kelab Penyinar, Awang Mohd Rafee Isa dan Timbalan Kapten Kelab Penyinar, Dayangku Noor Amal Shahanna Raihani binti Pengiran Noor A’malluddin.

Majlis itu juga dihasratkan untuk memberikan peluang bagi membincangkan mengenai kaedah dan bidang kerjasama yang boleh diterokai pada masa akan datang yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya dalam meningkatkan kesedaran, pencegahan dan mendidik mengenai HIV dan AIDS.

ARTIKEL YANG SAMA