Tingkat kesedaran kemasyarakatan

Tingkat kesedaran kemasyarakatan

Oleh Hajah Saemah kepli

 

KUALA BELAIT, 29 Okt – Institusi Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), dalam usahanya menaiktarafkan pendidikan teknikal di negara ini, telah menggariskan nilai-nilai utama untuk dijadikan pegangan dan amalan iaitu berkemahiran, berkolabrasi, berintegriti, berinovasi, bekerja secara berpasukan dan cemerlang.

Sehubungan itu, para pelajar di institusi berkenaan diseru supaya sentiasa berpegang pada nilai-nilai tersebut dalam menetapkan niat dan azam untuk berjaya dengan cemerlang.

Timbalan Pengetua (Pentadbiran dan Perkhidmatan), Kampus Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB), IBTE, Awang Emaran bin Haji Junaidi turut menyeru para pelajar supaya tidak mudah berputus asa terutama apabila berhadapan dengan cabaran dan dugaan, tetapi istiqamah dan bangkit berjuang dan berusaha untuk sebuah kejayaan.

Antara pelajar lelaki Kkampus MKJB yang menghadiri Majlis Ceramah Hijrah 1437 di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Antara pelajar lelaki Kkampus MKJB yang menghadiri Majlis Ceramah Hijrah 1437 di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

“Kejayaan adalah hadiah yang berharga buat diri pelajar sendiri dan ia merupakan hadiah dan penghargaan yang tidak ternilai kepada ibu bapa yang telah banyak menabur usaha dan jasa supaya pelajar-pelajar menjadi insan yang berpengalaman dan berakhlak mulia,” ujar beliau lagi semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Ceramah Hijrah Sempena Awal Tahun Hijrah 1437 di dewan Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, hari ini.

Majlis anjuran Bahagian Pendidikan Islam, Kelab Belia Islam dan Unit Aktiviti Kokurikulum kampus tersebut, antara lain bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran aktiviti kemasyarakatan, menyemai sikap tekun dalam beribadah terutama bersembahyang dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran serta menanamkan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 pelajar kampus berkenaan, telah diisikan dengan ceramah bertajuk ‘4B (Berani, Berazam, Berkorban dan Bertawakal)’ yang telah disampaikan oleh penceramah undangan, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

ARTIKEL YANG SAMA