Tingkat kesedaran keselamatan lalu lintas

Tingkat kesedaran keselamatan lalu lintas

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Dalam usaha untuk mempertingkatkan kesedaran tentang keselamatan lalu lin-tas dan jalan raya, taklimat mengenainya telah diadakan di Sekolah Rendah Pusar Ulak, di ibu negara, kelmarin.

Taklimat tersebut merupakan salah satu daripada siri taklimat dan inisiatif yang dikendalikan oleh Bahagian Kesihatan, Keselamatan, Kawalan Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE), Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Jabatan Siasatan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Penguat Kuasa Kanan JPD, Pengiran Khairul Yusra bin Pengiran Haji Mohd Yusof selaku Ketua Unit Majlis Keselamatan Jalan Raya, yang antara lain menayangkan klip-klip video yang berkaitan dengan aspek-aspek keselamatan jalan raya dan risiko-risiko yang boleh mengakibatkan kemalangan.

Turut menyampaikan taklimat tersebut ialah pegawai-pegawai dari JSKLL, Pasukan Polis Diraja Brunei, Senior Inspektor Mohd Bahrain Shah bin Haji Abu Bakar dan Sarjan Awang Asnan bin Haji Adnan yang turut menerangkan kepentingan dalam mengetahui faktor-faktor penyebab kejadian kemalangan di jalan raya seperti faktor kenderaan, manusia dan persekitaran.

Selain itu, taklimat juga diserikan dengan sesi kuiz bagi menguji kefahaman para pelajar tentang apa yang telah disampaikan.

Taklimat seumpamanya telah pun dikendalikan sejak tahun 2015 kepada pelajar-pelajar Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS), Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri yang bertujuan dapat menanamkan sikap kewaspadaan dalam diri pelajar semasa berada di jalan raya, di samping dapat menyumbang ke arah peningkatan keselamatan lalu lintas dan jalan raya di seluruh negara. Seterusnya, ia akan diadakan di Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah pada 28 Januari ini dan akan dilaratkan ke sekolah-sekolah lain di seluruh negara pada masa akan datang.