Tingkat kesedaran kualiti jualan ikan

Tingkat kesedaran kualiti jualan ikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai pengendalian, kebersihan dan keselamatan makanan di pasar-pasar ikan susulan daripada aduan-aduan orang ramai mengenai kualiti ikan yang kurang baik dijual di Pasar Ikan Gadong, Taklimat Pengendalian Ikan dan Amalan Kebersihan di Pasar Ikan telah diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini.

Taklimat anjuran bersama Jabatan Perikanan, KSSUP, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Kesihatan itu telah dihadiri oleh penjual-penjual ikan dari Pasar Gadong, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Jabatan Perikanan, KSSUP, KHEDN dan Kementerian Kesihatan.

Taklimat telah disampaikan oleh wakil dari Jabatan Perikanan KSSUP, yang mana maklumat-maklumat yang telah disampaikan diharap akan dipraktikkan oleh para penjual ikan demi menjamin ikan-ikan yang dijual dalam keadaan segar, mempunyai kualiti yang baik, bersih dan selamat, serta dapat meningkatkan keyakinan para pembeli yang berkunjung ke pasar-pasar ikan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perikanan, pemantauan dan pengamatan pihak jabatan di pasar-pasar ikan mendapati amalan-amalan dan keadaan pasar pada ketika ini dalam keadaan yang tidak memuaskan dari segi kebersihannya.

Oleh itu, Jabatan Perikanan yang berperanan sebagai pihak berkuasa yang layak dalam memastikan hasil industri perikanan sentiasa mematuhi kualiti dan keselamatan makanan telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan amalan-amalan kebersihan di pasar-pasar ikan dengan menyediakan beberapa program.

Antaranya dengan menyediakan poster-poster dan risalah mengenai amalan-amalan kebersihan di pasar ikan, tindakan perundangan ke atas penjual-penjual ikan yang menjual ikan yang menjejaskan kesihatan dan tercemar, serta garis pandu membeli dan memilih ikan segar dan penyimpanan yang betul untuk mengekalkan kesegaran ikan sebagai panduan pengguna.

Di samping itu, memberi taklimat mengenai pengendalian ikan yang baik, amalan-amalan kebersihan di pasar-pasar ikan dan maklumat tindakan perundangan kepada para penjual ikan, dan pembuatan iklan-iklan keselamatan makanan laut di media massa serta menyediakan garis panduan keperluan kebersihan di pasar ikan.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Perikanan dengan kerjasama Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, KHEDN, telah memasang poster-poster berkenaan pada 12 Julai 2016 di pintu-pintu masuk dan laluan-laluan pengunjung di Pasar Gadong sebagai rujukan oleh pihak pengurusan pasar-pasar, penjual ikan serta memberi pengetahuan kepada pengguna dalam memilih ikan yang segar dan berkualiti serta selamat untuk dimakan. Pengagihan poster-poster dan risalah akan dilaratkan ke pasar-pasar ikan dan pasar raya utama di seluruh negara dalam waktu terdekat.

ARTIKEL YANG SAMA