Tingkat kesedaran lalu lintas

Tingkat kesedaran lalu lintas

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 26 Okt – Kira-kira 100 orang pekerja asing telah mendengar taklimat mengenai kesedaran lalu lintas yang diadakan di Pusat Konvensyen Belait, di sini, kelmarin.

Antara isu-isu yang dibangkitkan dalam taklimat itu termasuk pelanggaran akta keselamatan dalam kalangan pemandu asing, terutamanya memandu kereta yang tidak mematuhi syarat-syarat peraturan lalu lintas seperti tidak memakai tali pinggang keledar atau mempunyai bunga tayar nipis yang boleh menyebabkan kecederaan atau membawa maut jika terlibat dalam sebarang kemalangan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Dr. Haji Supry bin Ladi, semasa ditemui pada majlis itu berkata, taklimat sedemikian adalah untuk mendidik mereka akan kepentingan mengenai keselamatan jalan raya sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

“Adalah penting bagi pekerja-pekerja asing ini yang memandu kenderaan jentera berat agar mereka dapat memahami prosedur keselamatan jalan raya di negara ini yang mungkin sedikit sebanyak berbeza daripada peraturan di negara mereka,” jelas beliau.

Dr. Haji Supry ketika memberikan taklimat mengenai kesedaran lalu lintas.
Dr. Haji Supry ketika memberikan taklimat mengenai kesedaran lalu lintas.
Salah seorang pekerja asing bertanyakan sesuatu semasa sesi soal jawab bersama JPD.
Salah seorang pekerja asing bertanyakan sesuatu semasa sesi soal jawab bersama JPD.

Menurut beliau lagi, JPD telah mengambil inisiatif mengadakan taklimat itu bagi pekerja asing kerana waktu kerja yang kadang kala menuntut masa mereka hingga ke waktu malam, ramai daripada mereka mempunyai pendedahan yang sangat sedikit kepada media massa, yang berfungsi sebagai medium untuk mempromosikan keselamatan jalan raya.

“Kami cuba untuk menekankan garis panduan keselamatan jalan raya bagi pemandu, penunggang basikal dan pejalan kaki melalui pembentangan kertas kerja melalui ‘slide show’ dan kuiz.

“Kerana kami percaya dengan menggunakan kaedah interaktif untuk memupuk pemahaman yang lebih baik tentang keselamatan jalan raya dalam kalangan mereka yang hadir, ia membawa hasil positif serta menjalin silaturahim yang baik di antara kami dan pekerja-pekerja asing ini,” ujar beliau.