Tingkat kesedaran mengenai GIS

Tingkat kesedaran mengenai GIS

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Program Geografi, Sains Alam Sekitar dan Pembangunan (GED) hari ini mengadakan Sambutan Hari GIS Sedunia bagi mempromosikan kesedaran mengenai Sistem Maklumat Geografi (GIS).

GIS ialah sistem dan teknologi bagi merakam, menyimpan, menggunakan, menganalisis dan menggambarkan maklumat ‘spatial,’ dan digunakan dalam pelbagai penggunaan.

Sambutan yang berlangsung di Dewan Mitsubishi, CLT, UBD itu dihadiri oleh Dekan FASS Sosial, Dr. Hajah Asiyah az-Zahra binti Haji Ahmad Kumpoh.

Turut hadir Timbalan Dekan, Dr. Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud dan Profesor Madya Dr. Khondker Iftekhar Iqbal.

Semasa sambutan itu, Nazri Razak dari Syarikat ESRI, telah menyampaikan ceramah mengenai penggunaan aplikasi dan manfaat mengenai GIS.

Nazri Razak dari Syarikat ESRI ketika menyampaikan ceramah. – Gambar oleh Ishan Ibrahim
Nazri Razak dari Syarikat ESRI ketika menyampaikan ceramah. – Gambar oleh Ishan Ibrahim

Beberapa hasil kerja mahasiswa UBD dalam jurusan GED, (Modul AV-3301 Introduction to Remote Sensing dan Modul AV-4302 Wetland Ecology and Development) yang telah menjalankan kerja projek mengkaji isu-isu alam sekitar seperti perubahan landskap, pengurangan hutan, kemapanan hutan hujan, rangkaian sungai, penggunaan tanah pantai, pembentukan delta, pengesanan kebakaran hutan, tebaran penempatan luar bandar (rural settlement distributions), analisis landskap tanah kering, ekosistem penumpuan tanah lembap bandar, kemusnahan hutan bakau dan perubahan penggunaan tanah bandar menggunakan perisian GIS, turut dipamerkan.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah bagi Kerja Kumpulan Terbaik dan juga Kerja Individu Terbaik.

Bagi Kerja Kumpulan Terbaik, hadiah telah dimenangi oleh Awang Mohaidi, Awang Muhammad Hazwan, Dayang Nur Syahirah dan Yap Seew Ling Jenny dengan projek mereka ‘Forest Fire Detection during Dry Season in Brunei Darussalam,’ dan Dayang Amal Qistina, Dayangku Nurul Hidayatul Aqilah, dan Dayang Nurhamizah dengan projek mereka ‘Sine Saloum Delta Management in Senegal’.

Manakala Kerja Individu Terbaik dimenangi oleh Dayangku Hanna Atiqah dengan projeknya ‘GIS Application in Mangrove Paradise’.

Hari GIS Sedunia diadakan setiap tahun pada minggu ketiga dalam bulan November, sebagai salah satu daripada Minggu Kesedaran Geografi. Pada tahun ini, Minggu Kesedaran Geografi jatuh pada 13 hingga 19 November dengan bertemakan ‘Discovering the World through GIS’.

ARTIKEL YANG SAMA