Tingkat kesedaran penyakit denggi, Zika

Tingkat kesedaran penyakit denggi, Zika

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah penyakit denggi dan zika, taklimat mengenainya telah diadakan bagi semua penghulu mukim dan ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara, yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara pagi tadi.

Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan para pegawai kanan dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Taklimat mengenai penyakit berkenaan telah disampaikan oleh Pegawai Perubatan di Unit Kawalan Penyakit, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Sirajul Adli bin Pengiran Haji Jamaluddin yang menyentuh beberapa topik mengenai dengan virus berkenaan.

Antara yang disentuh oleh beliau ialah tentang langkah-langkah utama kawalan denggi adalah dengan menghapus atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi.

Laporan Kementerian Kesihatan mengenai denggi di Negara Brunei Darussalam, pada tahun 2015 mencatatkan sebanyak 317 kes dan jumlah ini telah menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Antara mereka yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.
Antara mereka yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.

Beliau juga menerangkan mengenai virus zika, asal usul zika, cara jangkitan virus zika dan bagaimana ia dikesan, rawatan/vaksinasi zika dan situasi zika di Brunei Darussalam dan tindakan-tindakan oleh Kementerian Kesihatan.

Jelasnya, zika merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus zika yang tersebar kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes (terutamanya Aedes yang telah dijangkiti) dan virus zika terdiri daripada Genus Flavivirus atau dikenali satu keluarga dengan denggi, west nile dan Yellow Fever.

Sesi taklimat berkenaan juga diteruskan dengan taklimat mengenai peranan Biro Kawalan Narkotik dan hal-hal yang berkaitan, ini termasuklah garis panduan bagi kemasukan pesakit/pesalah ke Pusat Pemulihan di bawah kawalan Biro Kawalan Narkotik dan disampaikan oleh Pegawai Narkotik Kanan, Hajah Norasibah binti Haji Umar.

Taklimat sedemikian diharapkan akan meningkatkan lagi kesedaran para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta anak-anak buah kampung yang akan disampaikan oleh para penghulu mukim dan ketua kampung nanti.

Ia merupakan salah satu usaha Jabatan Daerah Brunei dan Muara untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah berkenaan melalui penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

Taklimat mengenai virus denggi dan zika juga diharap akan dapat memberikan kesedaran lebih meluas betapa pentingnya menjaga alam sekitar yang bersih daripada sampah sarap serta bekas-bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk terutama sekali nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan demam denggi dan demam denggi berdarah, manakala virus zika pula boleh menyebabkan kecacatan kepada anak yang baru lahir.

Pengiran Dr. Haji Sirajul Adli berkata, dengan menanamkan sikap mencegah adalah lebih baik daripada mengubati (Prevention is Better Than Cure) dan kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama di persekitaran kampung-kampung.

ARTIKEL YANG SAMA