Tingkat kesedaran penyakit mental

Tingkat kesedaran penyakit mental

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2015, Bahagian Psikologi Komuniti di bawah Jabatan Perkhidmatan Kesihatan sekali lagi telah menganjurkan aktiviti kesedaran awam yang berlangsung di The Mall Gadong, pusat-pusat kesihatan dan institusi pengajian tinggi yang dipilih, kelmarin.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, aktiviti kesedaran yang dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Psikiatri, Unit Psikologi Klinikal dan Unit Terapi Pekerjaan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) serta sokongan daripada Pusat Promosi Kesihatan berkenaan melibatkan interaksi dengan orang awam, mengedarkan risalah-risalah pendidikan kesihatan mental dan reben hijau kepada orang ramai.

Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut buat pertama kali pada 10 Oktober 1922 dan terus menjadi tarikh rasmi peringatan setiap tahun. Ia bermula sebagai aktiviti tahunan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) oleh Timbalan Setiausaha Agung pada masa itu, Richard Hunter.

Ketua Bahagian Psikologi Komuniti, dalam kenyataan itu, melahirkan harapan agar aktiviti sedemikian membantu menghapuskan rintangan stigma, dan membukakan saluran-saluran komunikasi dalam kalangan orang ramai mengenai meningkatkan kesedaran tentang apa yang boleh dilakukan untuk memastikan orang yang mempunyai masalah mental boleh meneruskan kehidupan dengan maruah.

Ini termasuk menerusi dasar dan undang-undang berorientasikan hak asasi manusia, melatih profesional-profesional kesihatan, menghormati persetujuan bagi rawatan, keterangkuman dalam proses membuat keputusan dan kempen-kempen kesedaran awam.

Orang awam yang menyokong Hari Kesihatan Mental Sedunia dan bergambar ramai bersama.
Orang awam yang menyokong Hari Kesihatan Mental Sedunia dan bergambar ramai bersama.
Pasukan Komuniti Psikologi ketika di The Mall, Gadong.
Pasukan Komuniti Psikologi ketika di The Mall, Gadong.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Kesihatan menyediakan rawatan kepada masalah kesihatan mental dan menawarkan sokongan-sokongan psikologi menerusi beberapa perkhidmatan seperti Perkhidmatan Psikiatri dan Perkhidmatan Psikologi Klinikal di hospital-hospital dan Perkhidmatan Psikologi Komuniti di pusat-pusat kesihatan seluruh negara.

Sehubungan itu, orang awam yang ingin mendapatkan bantuan mengenai pengurusan masalah mental, digalakkan untuk pergi ke pusat kesihatan masing-masing bagi nasihat dan rujukan lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA