Tingkat kesedaran sosial dan sivik

Tingkat kesedaran sosial dan sivik

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Politeknik Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Dalam usaha bagi meningkatkan kesedaran sosial dan tanggungjawab sivik di kalangan para pelajar, Politeknik Brunei baru-baru ini telah melancarkan Program Pelajar Politeknik Penyayang (Program 3P) yang diadakan di Orchid Garden Hotel.

Hadir bagi melancarkan program berkenaan ialah Ahli Lembaga Pengelola (Board of Governor) Politeknik Brunei, Lim Yu Kwang.

Program 3P ini diasaskan di bawah teras tanggungjawab sosial dan penglibatan sivik. Program ini merupakan program kemasyarakatan yang dibangunkan bersama Pusat Pembangunan dan Perkembangan Pelajar dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan bagi Pengurusan Autisme berkaitan isu-isu dalam Latihan, Pendidikan dan Sumber (SMARTER) dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Mariam (Pusat Ehsan).

Program 3P ini juga disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), BIBD At-Tamwil Berhad dan Maybank Berhad.

Acara dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai.

Lim Yu Kwang melawat pameran yang diadakan.
Lim Yu Kwang melawat pameran yang diadakan.

Seterusnya, acara diteruskan dengan tetamu kehormat melancarkan plak Program 3P yang kemudiannya ditandatangani oleh usaha sama dan penyokong program ini.

Dalam pada itu, tetamu kehormat majlis juga turut menyampaikan hadiah kepada pencipta logo program 3P yang ditaja oleh Maybank Berhad dan menyampaikan sijil penghargaan kepada usaha sama serta penyokong-penyokong Program 3P.

Program 3P dihasratkan akan dapat menyemai rasa tanggungjawab kemasyarakatan dan memupuk semangat kewarganegaraan pada diri pelajar dan dapat membina pelajar menjadi individu yang bertanggungjawab, bermoral dan berakhlak mulia. Setiap program akan berjalan selama 20 minggu atau 20 jam setiap semester.

Program 3P di SMARTER terdiri daripada dua program, UnderstandMe and GuideMe. Program UnderstandMe memperkenalkan pelajar kepada dunia autisme melalui interaksi dan penglibatan mereka membantu penjaga utama di pusat-pusat SMARTER.

Manakala program GuideMe akan dapat mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk melatih pelajar-pelajar SMARTER dalam program-program sijil kecekapan atau competency-based training (CBT) yang ditawarkan oleh SMARTER.

Program 3P di Pusat Ehsan terdiri daripada program Ehsan dan Bimbing. Program Ehsan meletakkan pelajar sebagai pembantu penjaga (assistant caregiver) kepada penjaga utama di sekolah-sekolah Pusat Ehsan seluruh negara.

Sementara, Program Bimbing merupakan program mentor di mana pelajar akan membimbing pelajar-pelajar Pusat Ehsan dalam mata pelajaran asas seperti Matematik, Bahasa Melayu dan Inggeris, bacaan Al-Quran, dan juga kelas kemahiran, seperti penggunaan komputer dan membantu mereka mendapatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi kehidupan seharian dan sebagai persediaan bagi memasuki alam pekerjaan.

ARTIKEL YANG SAMA