Tingkat kesedaran terhadap kesihatan

Tingkat kesedaran terhadap kesihatan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 22 Nov – Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya kesihatan, Syarikat B.R Oscar Group Sdn Bhd telah mengadakan Oscar Pesta Riuh di Dewan Kemasyarakatan Mukim Telisai di Bukit Beruang, Tutong, selama dua bulan bermula hari ini hingga 15 Januari.

Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan pesta berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Menurut Pengurus Syarikat B.R Oscar Group Sdn Bhd, Poh Seah Nam, acara ini diadakan di Bukit Beruang bagi memberikan peluang kepada para penduduk Kampung Bukit Beruang dan di sekitarnya untuk mengikuti beberapa acara aktiviti kesihatan.

Majlis pagi tadi diikuti dengan penyampaian derma untuk Tabung Amal Daerah Tutong daripada Syarikat B.R Oscar Group Sdn Bhd yang diserahkan kepada Pemangku Pegawai Daerah Tutong.

Haji Adnan menerima derma bagi Tabung Amal Daerah Tutong yang disampaikan oleh Poh Seah Nam.
Haji Adnan menerima derma bagi Tabung Amal Daerah Tutong yang disampaikan oleh Poh Seah Nam.
Orang ramai yang turut serta dalam Oscar Pesta Riuh.
Orang ramai yang turut serta dalam Oscar Pesta Riuh.

Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian derma Cermin Mata Oscar Ionspec kepada golongan yang memerlukan khusus kepada pesakit glaukoma dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Sepanjang acara berkenaan, beberapa aktiviti kesihatan yang dijalankan termasuk seminar kesihatan, acara sukan, dan aktiviti kebajikan seperti menderma untuk golongan yang kurang bernasib baik.

Sebanyak tiga sesi seminar kesihatan dengan mengemukakan beberapa topik kesihatan yang menarik akan dijalankan pada jam 10 pagi, 2 petang dan 5 petang.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan hadir ke acara berkenaan dan berpeluang menerima cenderahati daripada Syarikat B.R Oscar Group Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA