Tingkat kesedaran terhadap OBK

Tingkat kesedaran terhadap OBK

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Bagi meningkatkan lagi kesedaran terhadap orang berkeperluan khas (OBK) di negara ini, mahasiswa dan mahasiswi Tahun 3 bidang Perubatan, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (IHS PAPRSB) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menganjurkan acara Nurture, Encourage and Enable the Different Showcase (NEEDs) di Dewan Serbaguna, UBD, pada 4 Oktober ini bermula 7:30 pagi hingga 6:30 petang.

Menurut kenyataan UBD, di sini, acara yang merupakan sebahagian daripada modul projek ‘Special Study Module’ mahasiswa UBD ini dibukakan kepada orang awam.

Di antara persatuan OBK yang terlibat dalam projek ini termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti KACA, SMARTER, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNAB), Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) dan juga Pusat Bahagia Eric Goh serta pertubuhan kerajaan lainnya.

Pada acara itu nanti, persatuan-persatuan tersebut akan mengadakan pameran dan ceramah bagi menambahkan lagi pengetahuan orang awam tentang OBK serta peranan persatuan masing-masing dalam membantu dan menyediakan keperluan mereka. Selain itu, aktiviti interaktif juga akan diadakan antara golongan OBK dengan orang ramai untuk memupuk kesefahaman, perpaduan serta penerimaan khalayak ramai bagi menyebarkan pengetahuan tentang cabaran OBK, mempertingkatkan interaksi dan juga mengurangkan stigma sosial terhadap mereka.

Aktiviti lain yang akan diadakan, seperti sesi Zumba yang akan dipimpin oleh jurulatih dari Susan’s Fitness Studio pada jam 8 pagi dan diikuti dengan ‘Xplorace’.

Pada sebelah petang pula, persembahan muzik, tarian dan drama pendek akan diadakan oleh ahli Pusat Ehsan dan BDNAB, para pelajar UBD dan juga artis tempatan.

Tiket-tiket untuk menyaksikan persembahan muzik berkenaan akan dijual pada harga $5 dan tambahan $2 bagi mengakses keseluruhan acara amal dan pameran. Hasil daripada acara ini akan didermakan sebagai sumbangan amal kepada persatuan orang berkeperluan khas yang terlibat. Sehubungan itu, orang awam diharap akan dapat menghadiri acara NEEDS ini untuk mewujudkan sifat keprihatinan terhadap OBK di Brunei dan juga memberi kesedaran kepada masyarakat akan peranan mereka dalam membina persekitaran positif yang boleh membantu mengintegrasikan orang berkeperluan khas di dalam masyarakat.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghantar e-mel ke alamat ssm3team@gmail.com.

ARTIKEL YANG SAMA