Tingkat kesedaran warga netizen

Tingkat kesedaran warga netizen

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merancang meningkatkan kesedaran ‘netizen’ (warga Internet) mengenai pengawalseliaan sendiri semasa berinteraksi dalam talian, memandangkan peningkatan jumlah kes didakwa di mahkamah.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi, Zulkarnain Mohd Yasin berkata sebanyak 16 kes di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dilaporkan tahun lepas, peningkatan besar daripada hanya lima kes semasa tempoh 2013-2014.

“Sudahpun ada dua kes setakat ini bagi tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Kebanyakan kes melibatkan paparan kandungan yang menyinggung perasaan, lucah dan/atau pornografi dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, khidmat pesanan ringkas, pesanan multimedia dan laman blog. Pada masa hadapan, Zulkarnain berkata SKMM juga akan menumpukan kepada keseluruhan ekosistem sokongan dengan mendidik orang awam mengenai salah laku ruang siber.

“Dalam pendekatan ini, SKMM akan mengenal pasti kumpulan atau institusi yang boleh menjadi pengaruh baik untuk menukar persepsi awam dan bagaimana untuk menangani aktiviti ‘trolling’,” katanya.

Facebook yang sering digunakan bagi penyebaran kandungan yang tidak berfaedah. – Reuters
Facebook yang sering digunakan bagi penyebaran kandungan yang tidak berfaedah. – Reuters

Di bawah Akta tersebut, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Ditanya sama ada SKMM akan lebih tegas dalam penguatkuasaannya, Zulkarnain berkata penguatkuasaan ketat hanya boleh membantu sedikit kerana pada dasarnya orang awam sendiri yang perlu belajar untuk mengawal selia sendiri bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman dalam ruang siber.

Beliau berkata dalam sesetengah kes, akaun palsu dicipta oleh individu tidak bertanggungjawab untuk memaparkan kandungan yang menyinggung perasaan di media sosial bagi membangkitkan kemarahan orang awam dan menutup akaun apabila isu itu mula tersebar luar.

“Seksyen 233 Akta tersebut akan berkuat kuasa apabila seseorang pengguna Internet dengan secara sedar mencatatkan komen atau cadangan yang dianggap lucah dan menyinggung perasaan untuk mengancam dan mengganggu ketenteraman orang lain,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA