Tingkat keselamatan di pedalaman

Tingkat keselamatan di pedalaman

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Nov – Dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan penghuni rumah panjang jika berlaku kejadian kecemasan seperti kebakaran, rombongan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat telah membuat tinjauan ke Rumah Panjang Mukim Sukang, di sini, hari ini.

Rombongan berkenaan diketuai oleh Penolong Pengarah Teknikal Bomba, Haji Japar bin Haji Tahir dan disertai sama oleh Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Pegawai Balai Awang Muhammad Ali bin Hassan, beberapa anggota Balai Bomba Sungai Liang dan kakitangan Pejabat Penolong Pengarah Teknikal, juga telah turut meninjau ke beberapa buah rumah panjang yang lain di kawasan pedalaman berkenaan.

Hadir bersama rombongan pada tinjauan tersebut ialah Penghulu Mukim Sukang, Haji Muhamad Noh bin Datu Maharaja Setia Dian.

Pegawai Balai Awang Muhammad Ali memberitahu Media Permata, rombongan juga membuat tinjauan ke Rumah Panjang Buau, Rumah Panjang Bang Tiong, serta Rumah Panjang Punan bagi tujuan yang sama di mana mereka memberikan taklimat dan menunjukkan cara memadam api sebagai tindakan awal sebelum tibanya anggota bomba.

Haji Japar menyerahkan alat pemadam api kepada penghuni Rumah Panjang Buau.
Haji Japar menyerahkan alat pemadam api kepada penghuni Rumah Panjang Buau.
Rombongan turut mengunjungi ke beberapa buah rumah panjang di pedalaman Labi.
Rombongan turut mengunjungi ke beberapa buah rumah panjang di pedalaman Labi.
Pegawai Balai Awang Muhammad Ali menunjukkan cara mengendalikan golongan hos dan ‘nozzle’ kepada penghuni di rumah panjang.
Pegawai Balai Awang Muhammad Ali menunjukkan cara mengendalikan golongan hos dan ‘nozzle’ kepada penghuni di rumah panjang.

Menurut beliau, rombongan mereka terpaksa bermalam di Dewan Serbaguna Mukim Sukang, memandangkan keadaan jalan raya yang tidak begitu mengizinkan ekoran hujan sehingga sedikit menjejaskan perjalanan untuk sampai ke kawasan pedalaman di Sukang.

Beliau memberitahu, tinjauan tersebut antara lain bertujuan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penduduk di pedalaman berkaitan dengan keselamatan jika berlaku kebakaran khususnya di rumah panjang mukim tersebut, sambil menerangkan secara ringkas mengenai pencegahan kebakaran dan cara betul memadamnya.

Dalam kesempatan tersebut, para penghuni di rumah-rumah panjang yang dikunjungi juga telah ditunjukkan cara yang betul menggunakan alat pemadam api, termasuk cara mengendalikan pemasangan golongan hos dari paip bomba, yang telah disampaikan oleh Pegawai Balai Awang Muhammad Ali.

Selain itu, Haji Japar turut menyerahkan alat pemadam api dan kelengkapan memadam api seperti tiga hos dan satu ‘nozzle’ untuk kegunaan tindakan awal memadam api sebelum tibanya jentera bomba ke tempat kejadian, kepada penghuni rumah panjang.

ARTIKEL YANG SAMA