Tingkat keselamatan perairan Sabah

Tingkat keselamatan perairan Sabah

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) – Kewujudan Pangkalan Laut Tun Azizan dan Tun Sharifah Rodziah di sempadan perairan Sabah jelas dapat mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku termasuk aktiviti lanun di kawasan itu.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar berkata kewujudan pangkalan berkenaan penting memandangkan kawasan itu berisiko tinggi kepada ancaman lanun.

“Sejak penempatan dua pelantar (pangkalan) laut itu, keadaan menjadi lebih tenang khususnya dengan kehadiran aset TLDM seperti kapal dan bot yang bertugas membuat kawalan dan rondaan.

“Anggota TLDM bertugas 24 jam sehari bagi memastikan keselamatan di perairan negara terutama sekali di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Warga TLDM Sempena Pengunduran Panglima Tentera Laut di KD Sri Gombak di sini, hari ini.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia ketika berucap mengenai perkara tersebut. – Bernama
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia ketika berucap mengenai perkara tersebut. – Bernama

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan serta kawalan di perairan negara ketika ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata pihaknya juga sentiasa berhubung dengan tentera laut negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand bagi memastikan perairan negara berada dalam keadaan selamat.

“Kita jalin hubungan rapat dengan negara jiran dan mereka sedia membantu khususnya dalam kejadian atau insiden yang perlu ditangani bersama,” katanya.

Di majlis itu, beliau turut meminta anggota TLDM sentiasa menjalankan tugas serta amanah yang telah diberikan dengan ikhlas serta penuh tanggungjawab.