Tingkat keselamatan sekolah

Tingkat keselamatan sekolah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Kementerian Pendidikan menggunakan khidmat syarikat pengawal keselamatan luar bagi bangunan sekolah yang mempunyai populasi pelajar tinggi, berasrama, sekolah yang mempunyai aset penting seperti peralatan komputer dan sekolah yang diklasifikasikan sebagai ‘berisiko tinggi’.

Perkhidmatan pengawal keselamatan penting bagi memastikan sekolah-sekolah berisiko tinggi itu sentiasa dalam keadaan selamat dan bagi menjamin suasana pembelajaran yang selesa dan selamat.

Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan yang juga Ketua Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Kementerian Pendidikan, Pengiran Nazrul Arif bin Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Zain pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Keselamatan bagi Bangunan Sekolah dan Maktab, Kementerian Pendidikan, yang berlangsung di Dewan Persidangan Kementerian Pendidikan, hari ini.

Katanya, daripada sejumlah 154 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, hanya sekolah terpilih saja yang dilengkapi dengan khidmat syarikat pengawal keselamatan luar sementara selebihnya disediakan dengan khidmat penjaga malam.

Pengiran Haji Rosli (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama wakil syarikat pengawal keselamatan yang dianugerahkan kontrak.
Pengiran Haji Rosli (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama wakil syarikat pengawal keselamatan yang dianugerahkan kontrak.

Pada majlis itu, tiga buah syarikat pengawal keselamatan, iaitu AHO Globaltrust Security, Setia Protective Security Services Sdn Bhd (SPSS) dan Koperasi Rimbun Berhad (KOPRI) telah menandatangani perjanjian keselamatan dengan Kementerian Pendidikan.

Hadir bagi menandatangani bagi pihak Kementerian Pendidikan ialah Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus.

Menurut Pengiran Nazrul, perjanjian itu merupakan salah satu usaha kementerian untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sembilan buah sekolah dan sebuah pejabat di bawah Kementerian Pendidikan.

“Berdasarkan kontrak ini, Syarikat Setia Protective Security Services bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan keselamatan di tiga buah sekolah dan sebuah pejabat, manakala AHO Globaltrust Security dan KOPRI yang masing-masing menyediakan khidmat di tiga buah sekolah di keempat-empat daerah di negara ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis menandatangani kontrak itu ialah guru besar dan pengetua sekolah-sekolah yang menerima khidmat pengawal keselamatan.