Tingkat keselamatan siber

Tingkat keselamatan siber

TAWAU, 12 April (Bernama) – Agensi kerajaan perlu mempertingkatkan kawalan keselamatan siber bagi mengelakkan sistem data diceroboh anasir tidak bertanggungjawab, sekali gus mengakibatkan kebocoran rahsia kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata pemantauan sistem maklumat dan pengurusan data yang dijalankan mendapati terdapat purata 50 ribu cubaan menggodam sistem data negeri pada setiap minggu dari seluruh dunia.

Katanya kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah, yang dipertanggungjawabkan dalam soal keselamatan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) sektor awam, telah melaksanakan beberapa usaha bagi mempertingkatkan keselamatan ICT di setiap jabatan.

“Ini termasuk mewujudkan pusat pemulihan data luar kawasan yang terletak di pantai timur iaitu di Tawau,” katanya sempena seminar ICT Sektor Awam Negeri, Wilayah Tawau di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Sipil.

Tawfiq juga berkata kakitangan kerajaan sekarang berada pada fasa kerajaan pintar yang merupakan anjakan daripada pelaksanaan kerajaan elektronik yang memfokuskan kepada pengurusan sistem ICT yang disediakan kerajaan.

“Ini selaras dengan kemudahan serta perkembangan teknologi pintar terkini, sejajar dengan penggunaannya yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat di negara ini,” kata Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas.

Beliau berkata, lebih daripada 30 sistem aplikasi dalam sistem pentadbiran negeri telah beroperasi menerusi dalam talian dan yang terkini adalah sistem pengeluaran lesen perniagaan dan sistem pengurusan peruntukan dan pembayaran yang meliputi modul pengurusan baucar bersepadu.

ARTIKEL YANG SAMA