Tingkat keselamatan, tangani punca kemalangan

Tingkat keselamatan, tangani punca kemalangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Sistem Jalan Raya Selamat (Safe Road System) merupakan satu sistem yang mengambil kira empat tunggak utama iaitu keadaan dan sekeliling jalan, kelajuan, pengguna jalan serta keadaan kenderaan dalam melakukan penilaian dan melaksanakan langkah-langkah mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya.

Melalui penggunaan sistem tersebut, pihak berkenaan akan dapat membuat penilaian pelbagai aspek atau sudut dalam menangani masalah kejadian kemalangan lalu lintas serta melaksanakan langkah-langkah yang dihasratkan untuk menjadikan kawasan yang sering berlaku kemalangan lebih selamat.

Perkara itu dijelaskan oleh Clifford Sta Maria ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Street Talk Driver Education Program’ yang berlangsung di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong, hari ini.

Ceramah yang dianjurkan oleh The Institution of Engineering and Technology (IET) itu disertai oleh kira-kira 40 orang peserta terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), para pensyarah serta peserta persendirian dan bertujuan untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan mengenai dengan amalan terbaik dalam meningkatkan kesedaran pemanduan yang lebih selamat.

Clifford ketika memberikan penerangan semasa taklimat tersebut.
Clifford ketika memberikan penerangan semasa taklimat tersebut.

Semasa ceramah itu, Clifford juga mengongsikan penggunaan Sistem Jalan Raya Selamat di New Zealand yang bukan sahaja menumpukan kepada kesilapan atau sikap pemandu semata-mata, tetapi mengambil kira pelbagai aspek atau faktor yang mungkin menyumbang kepada berlakunya kejadian kemalangan.

Beliau turut memberikan contoh bagaimana sistem tersebut digunakan dalam membantu mengurangkan kejadian kemalangan di kawasan jalan raya yang sering berlaku kemalangan di New Zealand.

Menurut beliau, hasil daripada penilaian pihak berkenaan mengenai keadaan kawasan jalan raya di New Zealand mendapati bahawa, beberapa kejadian kemalangan yang berlaku adalah berpunca daripada struktur jalan raya yang tidak rata. Justeru itu, satu tindakan yang diambil pihak berkenaan adalah untuk memasang kabel pembahagi jalan bagi mengelakkan kenderaan daripada memasuki laluan aliran kenderaan yang salah.

Di samping itu, pihak berkuasa juga mendapati bahawa keadaan dan rekaan jalan raya adalah kurang bersesuaian bagi pengguna kenderaan had laju yang ditetapkan iaitu 100km sejam, di mana pihak berkuasa telah mengambil keputusan untuk mengurangkan had laju di kawasan berkenaan kepada 80km sejam.

Hasil daripada langkah-langkah yang diambil, jumlah kejadian kemalangan dapat dikurangkan, di mana langkah-langkah tersebut, jelas Clifford lagi adalah juga hasil daripada maklum balas serta cadangan yang diberikan oleh pengguna jalan raya yang menggunakan jalan berkenaan.

Oleh itu, tambahnya, jelas bahawa dengan menggunakan sistem tersebut, pihak yang berkenaan bukan sahaja dapat menilai dan melaksanakan langkah pengurangan yang berkesan tetapi juga dapat bekerjasama dalam mendapatkan maklum balas dan cadangan yang membina daripada pihak pengguna jalan raya.

ARTIKEL YANG SAMA