Tingkat keupayaan PKS tempatan

Tingkat keupayaan PKS tempatan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Dengan harapan untuk meningkatkan keupayaan dan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam sektor makanan dan membangunkan lagi serta memapankan industri makanan, Darussalam Enterprise (DARE) dan Ghanim International Corporation Sdn Bhd telah menganjurkan bengkel mengenai Penglibatan PKS bagi Pembangunan Strategi Makanan Kebangsaan, hari ini.

Bengkel sempena Pameran Halal Brunei (BruHAS) 2016 yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, itu mengetengahkan dua orang penceramah undangan bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai industri makanan.

Salah seorang pembentang berkenaan ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Wilayah Utara, Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (Austrade), Anthony Cheng selaku wakil kerajaan Wilayah Utara (Northern Territory), Australia, yang telah membentangkan tajuk ‘Pengalaman dan Pendekatan Kerajaan Wilayah Utara Australia kepada Pembangunan Industri’.

Seorang lagi ialah salah seorang pemilik dan Pengarah Australian Wholefoods, Raymond Khabbaz, yang membentangkan mengenai ‘Perbincangan peralihan trend global dalam makanan dan perniagaan, mengambil contoh-contoh kejayaan dari luar negara’.

Australian Wholefoods terkenal dengan kilangnya yang bertaraf dunia dan telah berjaya memajukan pelan strategik lima tahun. Ia kini terletak di Turin Place, Salisbury Selatan, Australia Selatan.

Anthony Cheng ketika menyampaikan pembentangannya.
Anthony Cheng ketika menyampaikan pembentangannya.
Antara yang hadir pada bengkel sempena BruHAS 2016 di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, kelmarin.
Antara yang hadir pada bengkel sempena BruHAS 2016 di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, kelmarin.

Bengkel tersebut dihadiri oleh para pengusaha PKS, penggiat industri, ahli-ahli Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Brunei (DPPKB) serta wakil dari pelbagai agensi kerajaan.

Antara lain tujuan bengkel itu adalah bagi menggalakkan PKS meneroka peluang-peluang pertumbuhan melalui perkongsian pengalaman daripada pakar-pakar dalam bidang industri.

Di samping itu, untuk mengongsikan dasar dan proses kerajaan Wilayah Utara Australia dalam meningkatkan industri dan juga untuk menyokong PKS dalam usaha kepelbagaian dan pertumbuhan perniagaan mereka agar dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri ingin meneruskan usaha bagi menyokong PKS tempatan dalam perniagaan mereka untuk menjadi lebih berdaya saing dan menjadi usahawan global dalam sektor makanan dengan memudahkan perbincangan PKS tempatan dengan pakar-pakar dari Australia.

Selain itu, berharap ia akan memberikan sokongan yang lebih lanjut mengenai program kepelbagaian ekonomi negara.

Dengan meningkatkan kesedaran berhubung industri Halal tempatan, Jabatan Tenaga dan Perindustrian, juga berhasrat untuk meningkatkan lagi kesedaran serantau dan global dalam strategi Brunei kepada industri halal, menjadikan Brunei sebagai destinasi pelaburan bagi Industri Halal, bukan sahaja dalam sektor makanan tetapi juga dalam kosmetik serta sektor farmaseutikal.

ARTIKEL YANG SAMA