Tingkat kewaspadaan ketika memandu

Tingkat kewaspadaan ketika memandu

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 8 Julai – Para pengguna jalan raya terutama yang menggunakan Lebuh Raya Telisai-Lumut sekali lagi diingatkan supaya meningkatkan kewaspadaan dan berhati-hati bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini lebih-lebih lagi dalam suasana gembira menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Penceramah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Anwari bin Haji Rawi memberikan nasihat demikian mengulas mengenai perkara-perkara tahyul yang sengaja dikaitkan dengan lebuh raya berkenaan.

Menurut beliau, memandangkan zaman sekarang ini dikenali sebagai zaman sains dan teknologi, perkara-perkara yang tidak masuk akal mudah tersebar serta dibesar-besarkan dan menjadi kepercayaan masyarakat kita pada masa ini, lebih-lebih lagi apabila khabar tentang wujudnya makhluk-makhluk yang tidak diundang.

Beliau berkata, makhluk-makhluk ghaib memang wujud, tetapi orang ramai tidak perlu berasa takut dan khuatir untuk melalui lebuh raya baru kerana makhluk-makhluk tersebut tidak akan mengganggu manusia jika mereka tidak diganggu.

Haji Anwari seterusnya berkata, kejadian kemalangan boleh berlaku di mana-mana saja yang barangkali kerana kecuaian sendiri.

Haji Anwari ketika ditemu bual oleh warga Media Permata.
Haji Anwari ketika ditemu bual oleh warga Media Permata.

“Yang penting, kita perlu berhati-hati dan sebagai umat Islam, kita perlu mengamalkan doa atau ayat pelindung walaupun di mana kita berada.

“Sebelum kita memandu, bacalah ayat-ayat Al-Quran se-perti Surah Al-Fatihah atau Ayat Kursi, atau Ayat Pelindung. Yang penting sebelum memandu ke tempat yang dituju, kita perlu membaca Doa Pelindung agar kita terselamat daripada malapetaka atau mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

“Sebagai pengguna jalan raya, kita perlu berhati-hati dan mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan jangan sesekali menyalahkan kerajaan kerana kerajaan telah cuba mengusahakan satu inisiatif untuk memberikan kemudahan kepada rakyat dan penduduk di negara ini,” katanya sambil meminta orang ramai tidak mudah percaya dan terpedaya dengan berita yang dihebohkan dalam laman-laman sosial yang boleh menakutkan dan mengkhuatirkan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA