Tingkat keyakinan anggota bomba

Tingkat keyakinan anggota bomba

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 29 Mei – Seramai 17 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Temburong telah mengikuti Program Pengukuhan Kepegawaian Teknikal Tali dan Menyelamat yang diadakan di Kawasan Sungai Ulu Belalong Temburong, baru-baru ini.

Program yang diadakan buat kali kedua ini telah melibatkan anggota dari Balai Bomba Bangar dan Balai Bomba Rataie yang diketuai oleh Ketua Seksyen Balai Bomba Rataie, Awang Nurhelmie bin Haji Mohd Noor.

Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘G’, Penguasa Kanan Abdul Hadi Zulfadli bin Haji Yahya memberitahu, pengurusan asas Teknikal Tali dan Menyelamat perlu diberi perhatian khusus oleh semua anggota bomba bagi menambah keyakinan dan kemahiran dalam tugas-tugas berkaitan penggunaan tali bagi meminimumkan masa, ruang, tenaga dan peralatan sepanjang misi penyelamatan ini dijalankan.

Dengan memiliki kemahiran tersebut, tambah beliau, sudah pasti mampu memberikan keyakinan kepada orang awam terhadap profesionalisme anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam menguruskan sesuatu tugasan terutama mengenai tatacara menangani insiden kecemasan melibatkan operasi penyelamatan di sungai atau tasik dan di cerun atau tebing bukit.

Katanya, menerusi program berkenaan, setiap anggota juga didedahkan dengan langkah-langkah keselamatan yang harus diambil bagi melindungi diri penyelamat dan juga mangsa yang terlibat, dengan menggunakan kaedah atau tatacara kerja yang betul dan efektif.

Setiap anggota siap siaga menerima arahan daripada Penguasa Kanan Abdul Hadi Zulfadli sebelum menjalankan latihan.
Setiap anggota siap siaga menerima arahan daripada Penguasa Kanan Abdul Hadi Zulfadli sebelum menjalankan latihan.
‘Mangsa’ diangkat menyeberangi sungai menggunakan tali keselamatan.
‘Mangsa’ diangkat menyeberangi sungai menggunakan tali keselamatan.
Dua anggota menyeberangi sungai dengan membawa tali keselamatan.
Dua anggota menyeberangi sungai dengan membawa tali keselamatan.
Anggota bomba di seberang sungai mula menurunkan ‘mangsa’.
Anggota bomba di seberang sungai mula menurunkan ‘mangsa’.
Bergambar ramai sejurus selepas latihan selesai dijalankan di Kawasan Sungai Ulu Belalong, Temburong, baru-baru ini.
Bergambar ramai sejurus selepas latihan selesai dijalankan di Kawasan Sungai Ulu Belalong, Temburong, baru-baru ini.

Selain itu, ia juga mampu memupuk kerjasama yang erat dalam kalangan anggota yang terlibat bagi membantu memikul tanggungjawab dalam tugas-tugas penyelamatan selain meringankan tugas-tugas yang berat dan mencabar.

“Anggota juga dapat meningkatkan kemahiran pengurusan bencana dalam skala yang besar dan dapat ditangani dengan tenang, selamat dan berkesan melalui arahan serta komunikasi yang jelas dan penuh keyakinan,” ujarnya.

Semasa program berkenaan, para peserta dilihat memberikan kerjasama padu, memahami serta mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan bersedia dalam menghadapi keadaan atau situasi kecemasan yang sebenar yang melibatkan operasi menyelamat di lokasi sasaran.

ARTIKEL YANG SAMA