Tingkat k’sama strategik

Tingkat k’sama strategik

SOCHI, Rusia, 20 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan mengenai keperluan bagi kerjasama serantau dan antarabangsa agar lebih strategik dalam menangani isu-isu keganasan dan jenayah-jenayah merentas sempadan yang lain.

Dalam titah Baginda semasa Sesi Plenari Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia Ke-20 yang berlangsung di Radisson Blu Resort and Congress Centre, Sochi hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh akan keperluan mempertimbangkan langkah-langkah yang dapat membantu dalam menjadi lebih berdaya-tahan untuk menangani ketidaktentuan ekonomi berikutan dengan impak harga minyak yang rendah dan tidak menentu, serta kelembapan ekonomi dalam pasaran-pasaran penting.

Baginda seterusnya melahirkan harapan bagi peningkatan penglibatan di antara agensi-agensi keselamatan ASEAN-Rusia dalam menangani isu keganasan dan jenayah-jenayah merentas sempadan yang lain, terutamanya dalam membanteras elemen keganasan melampau daripada masuk dan menetap di rantau ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menekankan mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN yang ditubuhkan pada akhir tahun lepas dan visi ekonomi ASEAN bagi tempoh sepuluh tahun akan datang itu dapat menyediakan peluang-peluang signifikan bagi perusahaan-perusahaan untuk berkembang lebih maju.

Dalam hal perdagangan yang telah ditetapkan bagi tempoh sepuluh tahun akan datang, Baginda menekankan peranan komuniti perniagaan adalah penting dalam mencapai matlamat tersebut.

Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia Ke-20 yang berlangsung di Radisson Blu Resort and Congress Centre, Sochi, Persekutuan Rusia. – Gambar Infofoto
Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia Ke-20 yang berlangsung di Radisson Blu Resort and Congress Centre, Sochi, Persekutuan Rusia. – Gambar Infofoto

pg01_160521_logo_asean-russia

Dalam pada itu, hubungan-hubungan yang kukuh di antara perdagangan-perdagangan ASEAN-Rusia sepatutnya dipupuk dan dipermudahkan.

Baginda seterusnya menekankan bahawa persefahaman bersama dan persahabatan yang dibina di antara rakyat ASEAN dan Rusia merupakan kunci kepada perkembangan perkongsian yang kukuh.

Baginda kemudiannya menyeru kepada persefahaman yang lebih meluas mengenai dengan kepelbagaian budaya-budaya ASEAN dan Rusia.

Pengukuhan ini menurut Baginda dapat dilihat melalui komitmen Rusia dalam mengendalikan persembahan Orkestra Simfoni bagi Belia ASEAN-Rusia di bandar-bandar ASEAN setiap tahun, dan ianya disambut baik oleh ASEAN.

Baginda mengakhiri titah dengan menyambut baik penglibatan Rusia dengan ASEAN melalui Pelan Tindakan Komprehensif yang akan menetapkan hala tuju yang pragmatik dalam mengembangluaskan kerjasama bagi tempoh lima tahun akan datang, dan selanjutnya menekankan bagaimana kerjasama ASEAN dan Rusia yang kukuh dan dinamik boleh memberikan landasan kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran global.