Tingkat kualiti hidup melalui ICT

Tingkat kualiti hidup melalui ICT

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Beberapa buah projek yang substantif dan penyelidikan yang berimpak tinggi telah dilaksanakan dengan jayanya di Universiti Brunei Darussalam melalui kerjasama dengan institusi-institusi antarabangsa dan agensi-agensi yang diiktiraf seperti University of Tokyo, Jepun dan IBM International ke arah pencapaian peningkatan kualiti hidup tersebut.

Contoh kerja projek yang dibincangkan ialah ‘Rumah Pintar’ atau lebih dikenali dengan nama Smart Home, yang merupakan salah satu perbualan hangat pada masa kini. Secara langsung, hasil projek ini memberikan sumbangan yang besar ke arah kualiti kehidupan kita semua.

Perkara tersebut telah dibincangkan oleh Pengarah Pejabat Penyelidikan dan Inovasi (ORI), Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra yang juga selaku Pengarah Pusat UBD|IBM semasa menyampaikan kertas kerjanya bertajuk ‘Menjana Penggunaan ICT ke arah Peningkatan Kualiti Kehidupan Masyarakat’ semasa Simposium Majlis Ilmu petang tadi.

Beliau juga memperlihatkan bagaimana ICT dapat membantu dalam pengemaskinian kerja-kerja penyelidikan yang berkaitan dengan Rumah Pintar.

Cadangan pengaplikasian daripada pelbagai cara dan teknik turut dikongsikan bersama oleh Pengiran Dr Mohammad Iskandar, yang mana antara cadangan itu ialah, Rumah Pintar yang menggunakan teknologi sistem visi sebagai elemen informasi penghubung.

Pengiran Dr Mohammad Iskandar semasa menyampaikan kertas kerjanya bertajuk ‘Menjana Penggunaan ICT ke arah Peningkatan Kualiti Kehidupan Masyarakat’.
Pengiran Dr Mohammad Iskandar semasa menyampaikan kertas kerjanya bertajuk ‘Menjana Penggunaan ICT ke arah Peningkatan Kualiti Kehidupan Masyarakat’.

Kedua, Rumah Pintar yang menggunakan teknologi visual sistem atau pendengaran dan ketiga, Rumah Pintar yang menggunakan teknologi pelbagai mod seperti sensor dari lantai dan sebagainya.

Kemudian beliau juga memperlihatkan aplikasi Rumah Pintar daripada sudut fungsi yang tertentu seperti penjagaan warga tua dan kanak-kanak serta mengongsi bagaimana Rumah Pintar dapat menyokong pencapaian kecekapan tenaga seperti penjimatan penggunaan tenaga.

Pusat UBD IBM, yang merupakan salah satu pusat penyelidikan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah berjaya melaksanakan satu projek yang dinamakan ‘Rumah Mesra Grid Pengguna’ (CGFH) yang dijalankan dengan sokongan Jabatan Industri dan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri.

Projek ini telah mengkaji dari pelbagai sudut penggunaan tenaga supaya lebih cekap, terutamanya dari sudut penglibatan pengguna.

Salah satu daripada elemen utama kepada kejayaan kerja-kerja projek yang telah dibincangkan oleh Pengiran Dr Mohammad Iskandar adalah infrastruktur komputer dan ICT yang kukuh.

Sebelum itu, beliau membincangkan peranan penting ICT secara langsung dan tidak langsung ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat global secara am dan masyarakat Brunei khasnya.

ARTIKEL YANG SAMA