Tingkat kualiti pendidikan

Tingkat kualiti pendidikan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Dalam usaha bagi meningkatkan kualiti pendidikan, Kementerian Pendidikan, hari ini, telah menganjurkan Majlis Forum Pendidikan Kebangsaan kali ke-5 bagi Tahun 2016 yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman. Juga hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah di Kementerian Pendidikan, Awang Zaman bin Haji Gapar dalam ucapannya berkata, seramai 360 orang peserta terdiri daripada pengetua-pengetua dan timbalan pengetua dari sekolah-sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam (PTE), guru besar, penolong guru besar dan guru-guru kanan dari sekolah-sekolah rendah dan pegawai-pegawai kluster menghadiri forum tersebut.

Ia turut melibatkan seramai 36 orang pemudah cara yang diketuai oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman.

“Dengan berbekalkan latar belakang pengetahuan dan pengalaman kepimpinan, para pemimpin ini diharapkan dapat menghasilkan percambahan fikiran dan sumbang saran yang lebih dinamik dan menghasilkan satu resolusi yang akan dijadikan garis pandu sekolah-sekolah,” jelas Awang Zaman lagi.

Dr. Haji Junaidi selaku Ketua Pemudah cara ketika menyampaikan perbincangan pada majlis forum tersebut.
Dr. Haji Junaidi selaku Ketua Pemudah cara ketika menyampaikan perbincangan pada majlis forum tersebut.

Menurutnya, mutu dan gaya kepimpinan para pengetua dan guru besar adalah amat penting sebagai agen kepada meningkat baikkan perlaksanaan kedua-dua inisiatif yang disebutkan tadi seupaya mencapai matlamat yang dihasratkan.

Turut ditekankan semasa majlis forum tersebut ialah mengenai keberkesanan Kepimpinan Instruksional para pemimpin sekolah, peranan pengetua dan guru besar sebagai pemimpin Kurikulum.

Forum Pendidikan Kebangsaan tersebut dibahagikan kepada tiga sesi pada sebelah pagi. Pada sesi pertama, para peserta telah membuat perbincangan, refleksi dan berkongsi sama terhadap perkara-perkara positif (What Went Well) yang berkaitan dengan akademik, penglibatan komuniti, ibu bapa dan apa jua perkembangan di sekolah masing-masing sepanjang Tahun 2015.

ATAS & BAWAH: Antara para peserta yang hadir pada Majlis Forum Pendidikan berkenaan.
ATAS & BAWAH: Antara para peserta yang hadir pada Majlis Forum Pendidikan berkenaan.

pg04_160115_d

Pada sesi kedua pula, para peserta akan berbincang dan bertukar pendapat mengenai isu-isu yang dapat diperbaiki sama ada daripada segi inisiatif-inisiatif, proses-proses mahupun perihal pengurusan sekolah.

Sementara itu, pada sesi ketiga ialah hasil dapatan daripada sesi pertama dan kedua, yang mana setiap kluster akan menghasilkan 5 strategi teratas yang selari dengan mandat khas yang dinyatakan dalam ucapan Yang Berhormat Menteri Pendidikan serta inisiatif Kementerian Pendidikan.

Manakala pada sesi sebelah petang, majlis forum dimuatkan dengan Pembentangan Resolusi Forum dan seterusnya Penyampaian Anugerah Insentif PSR 2015.

Majlis Forum Pendidikan Kebangsaan kali ini dikendalikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Ketua-ketua Kluster dan Pegawai-pegawai dari Institut bagi Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA) Universiti Brunei Darussalam (UBD).

ARTIKEL YANG SAMA