Tingkat kualiti pengajaran

Tingkat kualiti pengajaran

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 27 Julai – Dalam usaha untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar dan juga meningkatkan kualiti pengajaran guru-guru, Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) kelmarin mengadakan Forum Guru-Guru yang diadakan buat kali ketiga dalam tahun ini.

Semasa forum tersebut, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Dayang Anney Susanty binti Jabih dan rakan kajiannya, Dayang Suzilindawati binti Haji Zaidin telah membentangkan mengenai kecelaruan dalam esei jenis perbahasan.

Perkongsian mereka turut memfokuskan pada salah satu jenis esei yang dikemukakan iaitu jenis perbahasan.

Menurut mereka, jenis esei ini biasanya menjadi pilihan pelajar kerana tajuk yang dikemukakan adalah sangat relevan dan berkaitan dengan kehidupan semasa masyarakat, namun, tajuk yang nampak mudah itu sering mengundang kecelaruan dalam kalangan para pelajar.

Dalam menangani masalah tersebut, Dayang Anney menjelaskan, mereka sangat bertuah kerana mempunyai dua tutor Bahasa Melayu yang sangat berpengalaman iaitu Dayangku Halizah dan Hajah Norikhsan yang banyak membantu dalam sesi perbincangan yang produktif sepanjang projek ini dilaksanakan.

Tenaga pengajar PTET bersama wakil dari JPI membentangkan ‘Mastery Learning’ dalam subjek Syariah dan Usuluddin.
Tenaga pengajar PTET bersama wakil dari JPI membentangkan ‘Mastery Learning’ dalam subjek Syariah dan Usuluddin.

Kajian mereka seterusnya menghuraikan masalah yang dihadapi oleh para pelajar dan seterusnya usaha yang telah diambil untuk menangani kecelaruan tersebut.

Sementara itu, forum juga menumpukan kepada ‘Mastery Learning’ dalam subjek Syariah dan Usuluddin yang disampaikan oleh wakil dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Haji Rosaimi bin Haji Abdul Manap selaku Tutor Syariah.

Dalam situasi pembelajaran di dalam bilik kuliah, Haji Rosaimi menjelaskan bahawa guru memainkan peranan penting dalam menyampaikan isi pelajaran kepada pelajar-pelajarnya.

Justeru itu, sebagai pendidik, guru harus memberi perhatian terhadap penglibatan pelajar-pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran seharian.

Hakikat yang berlaku dalam bilik kuliah, tekan beliau, pelajar-pelajar bersikap pasif hanya menerima penerangan guru tanpa ada pertanyaan atau persoalan yang dikemukakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Keadaan ini, katanya, menyukarkan guru menilai sejauh mana kefahaman pelajar-pelajar dalam beberapa tajuk pelajaran yang telah diajarkan.

Berdasarkan situasi ini, beberapa strategi telah dilakukan bagi mengatasi masalah ini, antaranya menggunakan strategi ‘Mastery Learning’ dengan menggunakan aktiviti kumpulan mengikut tahap kebolehan pelajar-pelajar.

Hasil yang diterima berdasarkan maklum balas daripada beberapa orang pelajar mendapati bahawa mereka banyak mendapat manfaat daripada pembelajaran ini khususnya dalam mengulang kaji pelajaran.

“Pendekatan ini diharapkan akan memupuk pemikiran yang lebih kritis dan kreatif dalam menerangkan konsep dan bukan sahaja sepertimana banyak pelajar salah anggap iaitu hanya berdasarkan penghafalan,” tambah beliau.

Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan PTET, Onn Chee Sheng menjelaskan Program Pembangunan Profesional yang berterusan ini adalah sangat penting kerana sebagai seorang pendidik, mereka hendaklah sentiasa mempelajari daripada amalan terbaik dan mengadaptasikan apa yang sesuai bagi pelbagai konteks pengajaran.

Melalui forum seperti itu, tambahnya, diharapkan dapat memberi masa ruang dan sokongan kepada guru untuk menjalankan kaji selidik untuk memberi kesan positif bagi pengajaran dan pembelajaran.

Forum telah diakhiri dengan penyampaian sijil kepada pembentang forum yang telah disempurnakan oleh Pengetua PTET, Hajah Murni binti Abdullah.

ARTIKEL YANG SAMA