Tingkat kualiti pengeluaran produk perhutanan negara

Tingkat kualiti pengeluaran produk perhutanan negara

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Sektor-sektor perhutanan negara tidak ketinggalan untuk menggandakan usaha ke arah meningkatkan lagi sumbangan perhutanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di mana adalah amat penting bagi meningkatkan lagi pengeluaran mapan produk-produk dan perkhidmatan perhutanan serta memperbaiki lagi keupayaan pengurusan dan kefahaman sumber-sumber bagi semua pihak yang berkepentingan.

Dalam hubungan itu, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong menekankan perlunya untuk meneliti semula dasar-dasar supaya dapat menyediakan peluang-peluang baru bagi mata pencarian komuniti, perdagangan karbon, bayan bagi perkhidmatan ekosistem, cari gali biologi serta pembangunan pelancongan ekologi.

“Ia adalah mustahak bagi kita untuk mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan dan produk-produk hutan memandangkan peranan penting hutan sebagai penampan semula jadi kepada inisiatif-inisiatif perindustrian agresif negara kita ke arah mempelbagaikan ekonomi,” tambahnya lagi dalam sembah alu-aluannya di Majlis Penganugerahan Anugerah Saintis Muda Alam Semula Jadi Puteri Rashidah (PRYNSA) ke-18 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Mengulas mengenai Anugerah PRYNSA, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali menyatakan bahawa ia memberikan respons yang proaktif kepada Wawasan 2035 di mana ia menangani secara langsung Wawasan 2035 bagi rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

Kesalinghubungan antara inisiatif PRYNSA dengan Wawasan 2035, ulasnya lagi, bermatlamat untuk meningkatkan kualiti kehidupan menerusi penyelidikan, advokasi dan pendidikan berkualiti alam sekitar.

Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali.
Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali.

Beliau menambah, selaras dengan trend global, PRYNSA juga bermatlamat untuk menyumbang kepada penjanaan ekonomi berasakan ilmu pengetahuan seperti yang dinyatakan dalam Wawasan 2035.

“Kami berhasrat untuk membangunkan disiplin dan etika belia-belia kita ke arah mampu berdikari, keusahawanan dan patriotisme dalam usaha kita mendapatkan kecemerlangan akademik, sosial dan perkembangan spiritual.”

Pada masa yang sama, jelas Yang Berhormat Dato, inisiatif itu juga menyokong usaha pembangunan sains dan teknologi negara selaras dengan usaha melaksanakan program-program pembangunan dan penyelidikan serta pembangunan sumber manusia.

Antara pelajar yang terlibat ketika menyampaikan pembentangan masing-masing.
Antara pelajar yang terlibat ketika menyampaikan pembentangan masing-masing.

pg04_160408_b

Pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong bergambar ramai bersama piala PRYNSA 18.
Pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong bergambar ramai bersama piala PRYNSA 18.

Beliau juga berkata, tema PRYNSA ke-18, ‘Penyelidikan Biodiversiti bagi Pembangunan Belia Negara’ amat bertepatan sekali yang mana pada masa ini, negara berhadapan dengan cabaran-cabaran global kehilangan biodiversiti.

Oleh itu, meningkatkan kefahaman mengenai biodiversiti menerusi penyelidikan dapat membantu menyediakan maklumat asas bagi penggubalan dasar-dasar yang efektif yang mampu membimbing tindakan-tindakan yang diambil ke arah pengurusan hutan mapan.

Yang Berhormat Dato berkata penglibatan golongan belia dalam penyelidikan biodiversiti negara merupakan salah satu usaha bagi mempersiapkan mereka dalam pengurusan sumber asli dan untuk menjadi pemimpin yang kompeten dalam membentuk masa depan negara bagi kesejahteraan sosial, kestabilan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi.

“Saya ingin menyatakan bahawa biodiversiti kita dan belia kita merupakan di antara harta yang paling penting bagi negara kita dan adalah amat perlu untuk mengetengahkan mereka di dalam PRYNSA.”

ARTIKEL YANG SAMA