Tingkat laksana dasar antirasuah

Tingkat laksana dasar antirasuah

SINGAPURA, 21 Julai – Lebih banyak usaha diperlukan untuk meningkatkan pelaksanaan dan amalan dasar antirasuah dalam ASEAN.

Menurut hasil penyelidikan ke atas integriti perniagaan, hanya 54 peratus daripada syarikat senaraian utama di lima negara ASEAN secara puratanya telah membuat kenyataan secara umum mengenai komitmen mereka ke atas antirasuah.

Penyelidikan bersama oleh Rangkaian CSR ASEAN (ACN) dan Pusat bagi Tadbir Urus, Institusi dan Organisasi (CGIO) Sekolah Perniagaan Nasional University Singapore (NUS) melakukan tinjauan ke atas 50 syarikat utama tersenarai di setiap lima negara iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Ia menilai tahap pendedahan umum yang berkaitan dengan usaha terhadap antirasuah.

Hasil kajian itu dikeluarkan pada Persidangan Tadbir Urus Korporat dan Tanggungjawab: ‘Theory Meets Practice’, di sini hari ini.

Mengulas mengenai hasil kajian itu, Profesor Madya Lawrence Loh, Pengarah CGIO NUS berkata: ‘Ia merupakan asas yang baik bagi Singapura untuk ditanda aras menggunakan piawaian antarabangsa’.

“Dengan adanya ruang untuk penambahbaikan, kita perlu menganalisis dan memahami penghalang dan isu-isu yang dihadapi oleh organisasi, dan memupuk budaya ketelusan dan pendedahan.

Sementara itu, Yanti Triwadiantini, Pengerusi ACN, berkata hasil kajian itu merupakan permulaan yang baik untuk syarikat ASEAN membandingkan tahap pendedahan dasar antirasuah dan tindakannya bagi membolehkan mereka mengambil tindakan yang perlu untuk membetulkan sebarang kekurangan.

Beliau berkata usaha sudah ada, dan syarikat perlu mulakannya.

“Kemajuan yang dicapai dalam menangani rasuah di Asia Tenggara memberi manfaat jangka panjang dalam membangunkan komuniti ekonomi serantau yang lebih padu dengan hasil kerja dikongsi semua,” katanya.

Antara hasil kajian mendapati syarikat meraih skor purata 45 peratus bagi tahap pendedahan secara keseluruhan di lima negara ASEAN.

Thailand mengetuai tahap pendedahan keseluruhan, diikuti Singapura, Filipina, Malaysia dan Indonesia

Sembilan puluh enam peratus daripada syarikat berkenaan menyatakan komitmen untuk mematuhi undang-undang dan peraturan di negara mereka.

Laporan itu juga menyebut bahawa sokongan kepimpinan negara tidak begitu jelas, dengan syarikat di seluruh rantau ini mencatat purata skor 18 peratus, kecuali Thailand yang memperoleh skor 47 peratus.

Secara purata, laporan itu menunjukkan 59 peratus daripada syarikat mempunyai dasar yang meliputi hadiah, layanan dan perbelanjaan, walaupun purata skor mereka 59 peratus.

Thailand bagaimanapun mendapat skor tinggi, 84 satu peratus berbanding yang lain, dengan julat antara 39 peratus di Malaysia kepada 63 peratus di Indonesia.

Kajian ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Integriti Tidak Mempunyai Sempadan’ ACN dan disokong oleh Dana Kemakmuran Pejabat Luar dan Komanwel di United Kingdom.

Tiga belas soalan daripada kajian Transparency International mengenai ketelusan dalam la-poran korporat, digunakan.

Maklumat dikumpul menerusi laman web syarikat, laporan tahunan, laporan kemapanan, laporan tadbir urus korporat dan Kod Etika.

Persidangan yang berlangsung dari Rabu hingga Jumaat, bermatlamat untuk menyediakan platform untuk pihak berkepentingan yang terlibat dalam pengajaran, penyelidikan dan pelaksanaan tadbir urus korporat dan tanggungjawab, mengambil bahagian dalam kuliah peringkat tinggi, dialog interaktif dan perundingan.

Ia juga bertujuan berkongsi amalan dan pengalaman, termasuk lawatan tapak dan mesyuarat eksekutif.

Acara ini menghimpunkan kira-kira 200 penceramah dan delegasi dari seluruh dunia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA