Tingkat literasi kewangan

Tingkat literasi kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Empat kumpulan pelajar telah membentangkan mengenai saham-saham terpilih bagi meyakinkan barisan hakim untuk membeli atau menjual saham-saham tertentu, dalam pertandingan pembentangan saham yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE), hari ini.

Pertandingan berkenaan dihakimi oleh Edmund Teo dari State Street Brunei, Gordon Clarke dari Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Pengiran Dr. Haji Mohd Hasnol Alwee bin Pengiran Haji Mohd Salleh dari UBDSBE.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, pertandingan yang bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dan pemahaman mengenai pelaburan ekuiti dalam kalangan pelajar UBD itu adalah sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Pejabat State Street cawangan Brunei.

UBD dalam kenyataannya menjelaskan bahawa MoU berkenaan memformalkan kerjasama dalam pelbagai program, termasuk pertandingan pembentangan saham untuk meningkatkan pemahaman pelajar mengenai pelaburan ekuiti, satu siri kuliah oleh eksekutif-eksekutif State Street dan peluang-peluang penempatan kerja di Pejabat State Street cawangan Brunei.

Kerjasama rapat di antara UBD dan pemain-pemain industri yang penting, seperti State Street, juga bermatlamat meningkatkan lagi kemahiran dan kualiti keseluruhan pelajar-pelajar UBD sebelum menyertai tenaga kerja.

Gambar ramai mereka yang terlibat pada pertandingan tersebut.
Gambar ramai mereka yang terlibat pada pertandingan tersebut.

Edmund Teo dipetik sebagai berkata, “State Street berbesar hati untuk menyokong pertandingan pembentangan stok dan menyaksikan sendiri kemajuan keseluruhan pelajar-pelajar.

“Mereka telah menunjukkan pengetahuan yang baik secara keseluruhannya dan dapat membentang dengan yakin kepada panel hakim-hakim,” ulasnya mengenai pertandingan berkenaan.

Menurutnya, State Street digalakkan dengan kejayaan pertandingan ini terutamanya dengan mencapai matlamat meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai pasaran kapital dan literasi kewangan secara keseluruhannya.

Edmund juga menyatakan harapan bahawa pengalaman daripada pertandingan tersebut akan meningkatkan peluang pelajar diambil bekerja apabila mereka menyertai tenaga kerja.

Menyimpulkan pertandingan berkenaan, Dekan UBDSBE, Profesor Ahmed Masood Khalid memberikan sedikit ucapan galakan kepada para pelajar.

“Tiada yang kalah dalam pertandingan pembentangan stok ini kerana pengalaman yang pelajar perolehi adalah sangat tinggi nilainya,” ujar beliau.

Penyampaian hadiah kepada kumpulan yang memenangi pertandingan berkenaan akan diadakan dalam satu acara akan datang.

MoU UBD-State Street Brunei adalah yang terkini dalam satu siri kerjasama aktif di antara UBD dan universiti-universiti serta institusi di seluruh dunia, menjangkaui enam benua.

State Street Corporation (NYSE: STT) adalah salah satu pembekal perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia kepada pelabur-pelabur keinstitusian, termasuk khidmat pelaburan, pengurusan pelaburan dan penyelidikan dan perdagangan pelaburan.

Dengan aset bernilai AS$27 trilion di bawah jagaan dan pentadbirannya, serta AS$2 trilion aset di bawah pengurusan setakat 31 Mac 2016, State Street beroperasi di lebih 100 pasaran geografi seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Timur Tengah dan Asia.

ARTIKEL YANG SAMA