Tingkat literasi kewangan

Tingkat literasi kewangan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Kajian mengenai literasi kewangan yang dijalankan baru-baru ini mendapati separuh daripada jumlah isi rumah di negara ini tidak mempunyai simpanan kewangan yang aktif, sementara satu daripada setiap empat isi rumah tersebut bergantung pada pinjaman kewangan untuk menyara kehidupan seharian mereka.

Kajian itu yang dikendalikan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Pusat Kajian Dasar dan Strategik (CSPS) turut mendapati daripada 1,521 isi rumah yang dikaji, sebanyak 34 peratus daripadanya tidak mempunyai perancangan belanjawan isi rumah, manakala 32 peratus daripada jumlah isi rumah tersebut tidak tahu kadar faedah yang dikenakan ke atas baki kad kredit yang tertunggak, sambil 24 peratus isi rumah lagi bergantung pada pinjaman untuk menyara keperluan harian mereka.

Pengarah Urusan Junior Achievement (JA) Brunei, Louis Tan ketika mendedahkan perangkaan tersebut berkata, hasil kajian itu membuktikan betapa tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat dan rakyat penduduk di negara ini perlu diberikan perhatian yang lebih teliti.

Berucap pada Majlis Pelancaran JA Brunei sebagai sebuah persatuan berdaftar di negara ini dan juga sebagai anggota persatuan JA Worldwide di sini, Louis Tan berkata, penyelidikan juga telah menunjukkan bahawa kumpulan orang yang memiliki tahap literasi kewangan rendah lebih banyak meminjam, kurang mengumpul harta dan berkemungkinan banyak berhutang.

Louis Tan menyampaikan ucapannya. - Gambar oleh Azrol Azmi
Louis Tan menyampaikan ucapannya. – Gambar oleh Azrol Azmi

Golongan itu, katanya juga kurang membuat pelaburan masa depan atau merancang kewangan waktu persaraan.

Tambah beliau, oleh sebab keadaan kehidupan tersebut maka kewujudan JA dirasakan penting bagi memupuk minda kanak-kanak supaya dapat menghadapi cabaran kewangan yang bakal mereka tempuhi kelak.

Perasmian penubuhan JA Brunei hari ini disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Yang Mulia Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman.

Hadir sama bagi menyaksikan pelancarannya ialah Presiden JA Asia-Pasifik, Vivian Lau yang mewakili JA Worldwide.

Junior Achievement merupakan salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global terbesar yang mempunyai misi untuk menangani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi fundamental berkaitan perkara celik kewangan, keusahawanan dan alam kerjaya yang dihadapi oleh golongan remaja.

Menurut Louis Tan, sejak JA Brunei ditubuhkan pada 2013, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, JA Worldwide dan beberapa buah badan tempatan lain telah memulakan beberapa projek perintis di beberapa buah sekolah di negara ini.

Antara program yang diperkenalkan di sekolah tersebut ialah Program JA More Than Money, iaitu program asas literasi kewangan yang mengajar para pelajar konsep memperoleh pendapatan, berbelanja, menyimpan dan menderma, yang secara tidak langsung mengajar kanak-kanak konsep perancangan kewangan pada waktu muda.

Program kedua yang diperkenalkan ialah Program JA Economic for Success, yang menyediakan pelajar dengan maklumat yang perlu bagi merancang kewangan peribadi yang kukuh.

Manakala Program JA Company Program adalah program ketiga diperkenalkan yang memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan dan persiapan untuk menghadapi kerjaya yang mana para pelajar diajar mengenai ilmu dan cara-cara untuk memulakan perniagaan dan cara menguruskannya untuk berjaya di arena ekonomi global.

Pada majlis itu tetamu kehormat telah menyampaikan sijil penghargaan JA Brunei kepada para penaja program sektor swasta, antaranya HSBC yang telah menaja sejumlah $150,000 dan Bank Baiduri yang menaja sebanyak $100,000 bagi tempoh dua tahun.

Turut menerima sijil penghargaan ialah pengetua dan guru besar daripada 16 buah sekolah dan institusi pengajian yang mengambil bahagian dalam ketiga-tiga program tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA