Tingkat minat mainan catur di sekolah-sekolah

Tingkat minat mainan catur di sekolah-sekolah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Hassan meraih gelaran Sekolah Terbaik pada Kejohanan Catur Antara Sekolah-sekolah Freshco 2016 yang berlangsung di Putera Banquet Hall, Plaza Abdul Razak di Ibu Negara, hari ini.

Tempat kedua diraih oleh SM Muda Hashim, Tutong manakala tempat ketiga ialah SM St. John.

Suatu kejayaan juga ialah penganjuran pada tahun ini berjaya menarik lebih dua kali ganda jumlah penyertaan para pelajar, iaitu seramai 150 pelajar dari 21 buah sekolah seluruh negara berbanding penyertaan pada tahun lalu sekitar 60 peserta saja. Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan hadiah dan piala kepada para pemenang ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan.

Di akhir kejohanan yang dihadiri sama oleh Presiden Persekutuan Catur Negara Brunei Darussalam (BCF), Haji Zainal Abidin bin Haji Ali, Dayang Syasya Badrina dinobatkan sebagai pemain ranking pertama. Di ranking kedua ialah Awang Kamarul Ariffin bin Haji Kipli dan di ranking ketiga ialah Awang Mohd Ridwan @ Abu Hurairah bin Mohd Ismail.

Haji Zainal Abidin (berdiri, kiri) melihat dua pemain bermain pada kejohanan tersebut.
Haji Zainal Abidin (berdiri, kiri) melihat dua pemain bermain pada kejohanan tersebut.

Pemain terbaik peringkat umur bawah 12 tahun diraih oleh pemain ranking kesembilan Awang Abdul Zahirul Haq bin Zazali, manakala tempat kedua disandang oleh pemain ranking ke-28 Dmitry Nolan dan tempat ketiga diraih oleh pemain ranking ke-34 Awang Abdullah Sani bin Haji Norman.

Awal daripada itu ketika ditemu bual, Haji Zainal Abidin berkata, kejohanan yang disertai oleh pelajar sekolah rendah dan menengah itu adalah sebahagian daripada program antarabangsa di bawah Persekutuan Catur Sedunia (FIDE), iaitu Program Catur Di Sekolah yang dikendalikan oleh BCF.

Menurutnya, idea program itu bukan untuk melahirkan pemain handal, tetapi lebih kepada menggalakkan para pelajar sekolah berminat dalam permainan catur kerana banyak manfaat yang boleh diraih daripada kemahiran bermain catur. “Catur menggalakkan pelajar untuk berfikir secara logik dan strategik serta permainan itu juga berupaya membantu para pelajar dalam mata pelajaran seperti matematik dan bahasa,” katanya.

Beliau menyuarakan kegembiraan kerana SM Muda Hashim iaitu salah sebuah daripada empat buah sekolah yang mewakili Daerah Tutong telah mengetengahkan 32 peserta pada kejohanan itu.

Pada pertemuan itu Haji Zainal Abidin juga mengumumkan mengenai penganjuran Kejohanan Catur Veteran Kebangsaan Pertama 2016 yang akan diadakan pada 13 Mac 2016 bertempat di Dewan SM Muda Hashim, Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA