Tingkat minat membaca di kawasan pedalaman

Tingkat minat membaca di kawasan pedalaman

BEAUFORT, 9 Nov (Bernama) – Pembinaan bangunan baru Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Kinabatangan bernilai RM7.5 juta akan dimulakan pada tahun depan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Beliau berkata pembinaan bangunan perpustakaan berkenaan merupakan salah satu daripada beberapa perpustakaan yang dirancang pembinaannya di Sabah pada tahun ini melalui pembiayaan Kerajaan Persekutuan.

“Pembinaan bangunan baharu Perpustakaan Negeri Sabah Wilayah Kota Kinabalu di Tanjung Aru sedang dilaksanakan dengan kos RM40 juta dan telah mencapai kemajuan 65 peratus (siap),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak bangunan Perpustakaan Desa Kg Batu 58 dan Perpustakaan Desa Kg Rancangan Klias di Beaufort dan Perpustakaan Desa Kg Kebimbangan, Semporna di sini hari ini.

Cadangan pembinaan tiga Perpustakaan Desa bernilai RM356,000 setiap satu berkenaan diusahakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun ketika beliau masih menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah.

Kos pembinaan Perpustakaan Desa berkenaan meliputi penyediaan kemudahan teknologi maklumat serta koleksi buku dan pembinaannya dimulakan pada tahun 2013.