Tingkat minat sukan taekwando

Tingkat minat sukan taekwando

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Persatuan Taekwando Brunei Darussalam (BDTA) baru-baru ini, telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan mereka bagi menyimpulkan aktiviti-aktiviti dan perancangan-perancangan kerja mereka bagi tahun 2013-2015 yang diadakan di Pusat Belia, di sini.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Presiden BDTA, Haji Tajuddin bin Haji Mohd Salleh, ahli-ahli majlis, ahli jawatankuasa dan ahli-ahli persatuan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Haji Mohd Sharil bin Haji Abdul Rani diikuti ucapan alu-aluan oleh Presiden BDTA.

Dalam kata alu-aluannya, Haji Tajuddin mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli majlis bagi penggal 2013-2015 atas selesainya aktiviti-aktiviti kalendar yang mereka jalankan secara profesional dan dikenal pasti oleh orang awam.

Menurut kenyataan di sini, usaha tersebut sedikit sebanyak boleh menarik minat orang ramai untuk menyertai kelab-kelab taekwando di seluruh Brunei yang bukan sahaja sebagai aktiviti masa lapang yang sihat tetapi juga sebagai kerjaya untuk jangka masa panjang.

Haji Tajuddin ketika memberikan ucapan alu-aluannya dalam mesyuarat tersebut.
Haji Tajuddin ketika memberikan ucapan alu-aluannya dalam mesyuarat tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa sasaran bagi memperkembangkan kelab-kelab dan sekutu telah meningkat 35 peratus dari tahun-tahun sudah dan sekarang mempunyai ahli-ahli aktif seramai 680 orang pada 2015.

Di samping itu, persatuan juga telah secara aktif menghasilkan lebih banyak pemegang tali pinggang hitam yang disahkan dan kini mempunyai 18 orang pengadil yang diiktiraf antarabangsa yang secara aktif terlibat dengan kejohanan taekwando serantau dan antarabangsa.

Haji Tajuddin juga menggesa semua ahli untuk secara aktif mempromosi taekwando dan menjadikannya sukan rumah di negara ini dan menghasilkan lebih banyak lagi pemegang tali pinggang hitam dalam tahun-tahun mendatang supaya dapat mengambil bahagian dalam lebih banyak kejohanan di seluruh dunia.

Mesyuarat diteruskan dengan laporan-laporan daripada setiausaha agung mengenai aktiviti yang telah dijalankan pada penggal 2013-2015, aktiviti-aktiviti yang akan dirancang bagi 2016 dan diikuti dengan laporan-laporan kewangan daripada bendahari.

BDTA telah dengan jayanya mengadakan 10 kejoha-nan sejak dua tahun kebelakangan dan merancang untuk membuat lebih banyak aktiviti dalam masa terdekat, ini juga termasuk lebih banyak latihan buat jurulatih-jurulatih dalam kyurogi (berlatih) dan poomsae (bentuk) serta aktiviti-aktiviti komuniti lain yang berkaitan.

Mesyuarat disudahi dengan pelantikan ahli-ahli baru majlis bagi penggal 2016-2019 dan perbincangan mengenai hal-hal berbangkit.

ARTIKEL YANG SAMA