Tingkat mutu bacaan dikir

Tingkat mutu bacaan dikir

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Okt – Dalam usaha mengembang majukan lagi kesenian Dikir Syarafil Anam, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama tenaga pembimbing Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan telah menganjurkan Bengkel Dikir Asyaraqal Jawi yang diadakan di Masjid RPN Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Bengkel disertai oleh kalangan Muslimah masjid-masjid di Daerah Belait yang menghadiri kelas bimbingan Muslimah dan telah dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Keriam Tutong, Haji Mohd Kartolo bin Haji Abang.

Melalui bengkel singkat itu, para peserta telah diajar dalam memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu bacaan Dikir Syarafil Annam dari segi lagu, fasahah dan keseimbangan suara.

Antara Muslimah masjid di Daerah Belait yang menyertai Bengkel Dikir Asyaraqal Jawi di Masjid RPN Kampung Pandan Kuala Belait.
Antara Muslimah masjid di Daerah Belait yang menyertai Bengkel Dikir Asyaraqal Jawi di Masjid RPN Kampung Pandan Kuala Belait.

Bengkel juga dihasratkan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam kalangan rakyat dan penduduk di daerah ini khususnya mempelajari dan menguasai bacaan dikir-dikir tersebut, selain dapat mengukuhkan lagi silaturahim.

Dikir Syarafil Anam sering diadakan bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, selain itu, dalam bacaan dikir terdapat puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW yang dapat membawa pembacanya lebih mencintai Baginda.

Sejak dulu lagi, persembahan dikir itu juga sering dibawakan sebagai penyeri majlis-majlis tertentu dalam kalangan masyarakat Islam, seperti majlis perkahwinan, balik haji dan sebagainya.