Tingkat mutu bacaan

Tingkat mutu bacaan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Untuk meningkatkan mutu bacaan qari dan qariah ke tahap yang tinggi, perlu ada usaha bersepadu daripada semua pihak bagi membuat perubahan dan peningkatan dalam pengajaran taranum yang ada sekarang dengan mengkaji dan menyusun kaedah baru yang lebih berkesan dan mantap.

Dalam hubungan itu, Menteri Hal Ehwal Ugama berkata, kementeriannya akan mengembangkan pemikiran yang ada setakat ini, sesuai dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mahukan mutu bacaan qari dan qariah hendaklah terus dipertingkatkan.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menekankan perkara ini ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Skim Penggalak Kecemerlangan membaca Al-Quran bagi wakil qari dan qariah negara yang berjaya pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58 di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.

Beliau seterusnya menambah, juga amat mustahak bagi para qurra untuk turut berusaha keras memajukan diri masing-masing dengan penuh dedikasi, berdisiplin, ikhlas dan tawaduk kerana ayat yang hendak di bacakan dengan indah ini adalah kitab milik Allah yang seharusnya di tangani dengan etika mulia dan terpuji.

Awangku Muhammad Adibul Amin menerima hadiah skim galakan daripada Yang Berhormat Pehin pada majlis itu.
Awangku Muhammad Adibul Amin menerima hadiah skim galakan daripada Yang Berhormat Pehin pada majlis itu.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah skim galakan kepada Dayang Siti Huzaimah Yadey.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah skim galakan kepada Dayang Siti Huzaimah Yadey.

Majlis yang berlangsung di Mangrove Paradise Resort, Kampung Sungai Belukut malam tadi itu turut diserikan dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh qari dan qariah yang berjaya dalam tilawah Al-Quran antarabangsa di Malaysia.

Pada pertandingan itu, Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki telah berjaya meraih gelaran naib juara qari manakala itu, qariah negara, Dayang Siti Huzaimah Yadey binti Haji Rosli mendapat tempat ketiga.

Acara kemuncak majlis ialah Penyampaian Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al-Quran kepada Awangku Muhammad Adibul Amin yang menerima wang tunai sebanyak $7,000 berserta hadiah iringan, manakala itu, Dayang Siti Huzaimah Yadey menerima wang tunai sebanyak $4,000 berserta hadiah iringan yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.

Antara lain tujuan majlis adalah bagi memberikan penghargaan kepada qari dan qariah negara yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa selain sebagai dorongan kepada qari dan qariah yang lain serta belia yang berminat dan berpotensi dalam pembacaan Al-Quran secara bertarannum untuk mereka berusaha meningkatkan kemahiran dalam bidang ini.

ARTIKEL YANG SAMA