Tingkat mutu bola sepak Sabah

Tingkat mutu bola sepak Sabah

TAWAU, 15 Ogos – Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) diseru melaksanakan lebih banyak pelan tindakan yang bersesuaian serta berkesan dalam usaha membangun dan memajukan lagi sukan bola sepak di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Musa berkata sebagai persatuan yang bertanggungjawab dalam soal pembangunan bola sepak Sabah, SAFA telah banyak memperlihatkan perubahan positif namun belum mencapai tahap memuaskan serta masih ada aspek yang perlu diperbaiki dalam memajukan sukan itu di Sabah.

“Saya amat berharap segala perancangan dan usaha SAFA dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak Sabah setaraf dengan pasukan-pasukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya pada majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Piala Ketua Menteri (SAFA) di sini Sabtu malam.

Teks ucapan Musa dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Musa berkata beliau ingin melihat kemajuan dalam sukan bola sepak dan tidak mustahil ia dapat direalisasikan dengan sokongan para penyokong dan kerjasama semua pihak termasuk komitmen sektor swasta dan korporat. – Bernama