Tingkat mutu bola sepak tanah air

Tingkat mutu bola sepak tanah air

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Ke arah usaha mempertingkatkan lagi mutu bola sepak tanah air, Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) melalui Jabatan Perkembangan Bola Sepak, buat pertama kalinya menganjurkan Kursus Kecergasan Bolasepak FIFA 2016 bermula hari ini.

Seramai 30 orang menyertai kursus yang diadakan di NFABD House itu sehingga 15 Januari yang kandungannya merangkumi teori dan fizikal di bawah kendalian Instruktor FIFA dari Switzerland, Fritz Shmid.

Peserta terdiri daripada 26 orang jurulatih yang telah mengikuti Kursus Kejurulatihan Sijil ‘C’ AFC dan empat orang medik dari Pusat Pemulihan Perubatan Sukan (Sport Medical Recovery Center – SMRC), Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Membuka rasmi kursus di NFABD House berkenaan hari ini ialah EXCO NFABD, Haji Mohd Noor bin Haji Hamid.

Dalam ucapannya beliau menyeru para peserta untuk mengambil peluang sepenuhnya menyertai kursus berkenaan dengan menimba sebanyak mungkin ilmu dan kemudian menggunakannya sebaik mungkin demi mempertingkat mutu bola sepak tanah air.

Para peserta Kursus Kecergasan Bolasepak FIFA bersama Haji Mohd Noor (duduk 4 dari kanan) dan Fritz Schmid (duduk empat kiri).
Para peserta Kursus Kecergasan Bolasepak FIFA bersama Haji Mohd Noor (duduk 4 dari kanan) dan Fritz Schmid (duduk empat kiri).

Sementara itu, Fritz Schmid ketika ditemu bual media menjelaskan kursus berkenaan akan memperincikan mengenai kecergasan yang khusus untuk sukan bola sepak yang berkaitan dengan kehendak fizikal permainan untuk kemudiannya diterapkan menjadi amalan dalam latihan di padang.

Menurutnya kriteria utama seorang jurulatih kecergasan bola sepak adalah dia perlu meminati dan memahami sukan bola sepak sepenuhnya, memiliki ilmu pengetahuan kecergasan yang khusus bagi bola sepak dan kehendak fizikal sukan itu, tahu bagaimana untuk menerapkannya dalam latihan dan tidak kurang pentingnya adalah kerajinan.

Untuk menjadi seorang jurulatih bola sepak yang berjaya, seseorang itu perlu mengetahui setiap aspek latihan termasuk sedikit sebanyak berkaitan elemen kecergasan dan begitu juga bagi seorang jurulatih kecergasan bola sepak, dia juga perlu mengetahui dan memahami sedikit sebanyak mengenai latihan teknik dan taktik bola sepak.