Tingkat mutu bola sepak tempatan

Tingkat mutu bola sepak tempatan

Oleh Haniq Raffael

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Dalam usaha mempertingkatkan lagi mutu bola sepak tempatan di Negara Brunei Darussalam memerlukan usaha yang kuat dan gigih semata-mata untuk menghasilkan pemain-pemain berkualiti dan profesional di samping menyumbangkan semangat jitu kepada para pemain bola sepak di negara ini.

Inilah yang dinyatakan oleh Pengarah Pemasaran FC PHOSPHOR Kelab Bola sepak Tempatan, Tengku Syed Herdiman bin Tengku Syed Abdul Rahman. FC PHOSPHOR merupakan salah sebuah kelab bola sepak tempatan yang telah ditubuhkan sejak 29 Julai 2005.

Semasa ditemu bual, beliau menjelaskan bahawa objektif FC PHOSPHOR ini ditubuhkan adalah untuk membina sebuah stadium bola sepak di samping mengembangkan serta mempertingkatkan lagi mutu pemain-pemain bola sepak tempatan untuk menjadi pemain yang lebih profesional di samping untuk membangunkan kelab akademi dan juga memberikan peluang kepada pemain-pemain tempatan untuk bekerjaya dalam arena bola sepak.

Tambahnya, beliau percaya untuk membina satu tajaan yang begitu berpengaruh memerlukan kecemerlangan dalam mempromosi dan menyokong rangkaian global laman web untuk kelab peminat, selain menjemput para penaja dan pemain asing yang berkemahiran serta jurulatih Kelab Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam serta memimpin belia negara untuk menuju kepada kehidupan yang sihat dan berpendidikan.

Tengku Syed Herdiman bersama Wu Chun semasa majlis penyampaian derma kepada Pusat Ehsan.
Tengku Syed Herdiman bersama Wu Chun semasa majlis penyampaian derma kepada Pusat Ehsan.

Menyentuh mengenai visi kelab FC PHOSPHOR pula, kelab ini mempunyai visi untuk menjadikan ia salah satu kelab bola sepak yang berjaya dalam rangkaian web global, serta bidang pembangunan pemasaran selain menjadi penaja kepada acara-acara sukan tempatan dan juga pameran-pameran serta pesta konvensyen ke arah mengembangkan lagi pasaran kelab berkenaan serta untuk menjadikan kelab ini sebagai pembekal teknologi terkini dalam kemudahan sukan di Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, FC PHOSPHOR juga mengadakan Bazar Hari Keluarga bersempena dengan Hari Ulang Tahun Penubuhan FC PHOSPHOR ke-10 tahun yang bertujuan untuk memberikan peluang kepada peminat-peminat bola sepak terutamanya para belia untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai FC PHOSPHOR.

Bazar Hari Keluarga ini juga nanti akan turut menampilkan seorang artis tempatan negara yang sememangnya sudah dikenali iaitu Wu Chun di mana orang ramai berpeluang untuk bersua muka bersama beliau.

Bagi yang berminat untuk menyertai jualan Bazar Hari Keluarga FC PHOSPHOR masih berpeluang untuk menyertainya dan boleh berhubung terus ke talian +6738113377 bagi sebarang pertanyaan.

ARTIKEL YANG SAMA