Tingkat pemantauan, beri penerangan

Tingkat pemantauan, beri penerangan

TAWAU, 21 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta mempertingkat usaha memantau serta memberi penerangan kepada peniaga di pasar bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi peraturan harga yang ditetapkan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata perkara itu sangat penting agar para peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kita selalu disalahkan oleh orang ramai atau pengguna kerana kenaikan harga barangan khususnya di pasar-pasar…seolah-olah kami tidak ada ambil tindakan kepada peniaga yang melanggar peraturan.

“Oleh itu saya berharap KPDNKK sentiasa membuat pemantauan serta memberi penerangan agar peniaga-peniaga faham dan patuh dengan peraturan kadar harga barangan semasa,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan harga barangan di Pasar Tanjung dan Pasar Ikan Tawau, di sini hari ini.

Mengulas pemantauannya itu, Jainab berkata masih ada peniaga yang tidak mematuhi peraturan seperti tidak meletakkan tanda harga barangan serta meletakkan tanda harga yang mengelirukan pembeli.

“Tanda harga itu perlu jelas dan diletakkan di tempat yang sesuai agar senang dilihat oleh orang ramai,” katanya.

Turut serta dalam pemantauan itu Anggota Parlimen Tawau, Datuk Mary Yap Kain Ching. – Bernama